KUCHING: Meskipun sempadan memisahkan wilayah pentadbiran, kewartawanan boleh mendekatkan masyarakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir.
Sehubungan itu, beliau berkata organisasi media di Sarawak dan Kalimantan Barat berpotensi menjalin kerjasama dalam perkongsian berita, liputan bersama dan latihan kewartawanan bagi memperkukuh hubungan serta mengetengahkan kisah masyarakat di kedua-dua wilayah.
“Sarawak dan Kalimantan Barat berkongsi bumi Borneo, selain mempunyai pertalian sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat yang rapat.
“Walaupun dipisahkan oleh sempadan negara, kita mempunyai banyak cerita, pengalaman dan aspirasi yang boleh dikongsi bersama.
“Sempadan memisahkan wilayah pentadbiran tetapi kewartawanan boleh mendekatkan masyarakat. Inilah semangat yang saya harap dapat kita perkukuh melalui pertemuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi wartawan televisyen dan pengamal media Indonesia daripada Ikatan Jurnalis Televisi Indonesia (IJTI) di pejabat Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Metrocity, di sini, hari ini.
Menurut Dr Jeniri, organisasi media bukan sekadar bertanggungjawab melaporkan sesuatu kejadian, malah perlu memberikan konteks supaya khalayak memahami perkembangan yang berlaku serta kesannya terhadap kehidupan mereka.

Tegasnya, media hari ini berdepan pelbagai cabaran, termasuk perubahan tabiat khalayak, persaingan mendapatkan perhatian, tekanan pendapatan, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan penyebaran maklumat yang belum disahkan.
Justeru, katanya, kepantasan menyampaikan berita perlu diseimbangkan dengan ketepatan maklumat dan usaha mengekalkan kepercayaan khalayak.
Jelas beliau, antara bentuk kerjasama yang boleh diteroka ialah perkongsian berita dan bahan editorial berkaitan perkembangan Sarawak dan Kalimantan Barat, selain liputan bersama mengenai warisan, alam sekitar, pembangunan dan kehidupan masyarakat Borneo.
Beliau turut mencadangkan pertukaran wartawan serta latihan bersama dalam bidang penulisan berita, kewartawanan video, penerbitan digital, semakan fakta dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
“Pengalaman pengamal media televisyen juga boleh membantu memperkaya pendekatan penyampaian berita menerusi pelbagai platform.
“Selain aspek editorial, kedua-dua pihak boleh bertukar pengalaman berkaitan strategi perniagaan media, termasuk pengiklanan, kandungan digital dan usaha membina hubungan lebih kukuh dengan khalayak,” ujarnya.
Dr Jeniri turut berharap pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih tersusun, antaranya melalui pelantikan pegawai penghubung dan pengenalpastian bidang kerjasama yang boleh dilaksanakan secara berperingkat.
“Hubungan media yang lebih erat mampu membantu masyarakat Sarawak dan Kalimantan Barat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat melalui pemberitaan yang adil, berimbang dan mengambil kira konteks setempat,” tambahnya.





