BINTULU: Mengemas rumah, menjadi rakan bual bahkan membantu menghantar klien ke klinik atau hospital, namun segala itu tidak menjadi keluhan buat ahli-ahli Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Masyarakat (PSK) Bintulu yang terbabit dalam Program Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help).
Ia kerana tanggungjawab itu dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas untuk membantu klien yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal bersendirian termasuk warga emas yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut penyelaras luar dan setiausaha PSK Bintulu, Jenny Renit, mereka diamanahkan untuk menyelaras semua klien JKM berkenaan dengan setiap seorang ahli diberi empat orang klien.
“Mereka akan bertugas di rumah klien kira-kira satu hingga dua jam sehari dan boleh datang bila-bila masa apabila klien panggil.
“Pada masa ini, kami ada 13 orang petugas untuk membantu seramai 44 orang klien yang terpilih di bawah Pejabat Kebajikan Masyarakat Bintulu,” katanya yang ditemu-bual, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata apa yang membanggakan, ahli-ahli mereka terdiri daripada golongan belia, suri rumah bahkan warga emas yang terdiri daripada wanita.
Sementara itu, salah seorang ahli PSK Bintulu, Zaleha Bujang, 60, berkata penglibatannya dalam usaha murni itu adalah dibuat dengan penuh ikhlas hati.
“Kami ikhlas membantu dan senang hati melihat mereka (klien) gembira…kalau tidak ikhlas dari hati, ia tidak akan menjadi,” katanya.
Program Khidmat Bantu Di Rumah adalah inisiatif kerajaan Malaysia menerusi JKM untuk membantu golongan OKU yang tinggal bersendirian atau tidak ada orang yang bersama mereka termasuk warga emas.
Menerusi program itu, para sukarelawan akan pergi ke rumah kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti.
Sebelum itu, mereka akan diberi latihan, dibuat pemilihan dan juga dilatih sebelum dapat dijadikan sebagai sukarelawan Home Help yang berdaftar.



