IKM Bintulu memenangi dua pingat perak dalam pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa di Bangkok

BINTULU: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu telah beroleh kejayaan buat julung kalinya dalam pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa dengan membawa pulang dua pingat perak menerusi pertandingan Inovasi Ekspo Teknologi, Reka Cipta dan Harta Intelek (IPITEX) di Bangkok, Thailand dengan tajuk projek inovasi Adjustable Welders Arm Support (AWAS) dan Pyrolysis: From Plastic Waste To Petroleum Product.

Kejayaan ini telah dilakarkan menerusi projek inovasi bertajuk Adjustable Welders Arm Support (AWAS) disertai tiga pensyarah IKM Bintulu Mohd Luqman Harun, Husin Mahmad dan Roslan Saleh serta empat pelajar, Fatin Nisraina Aiyuni Sapian, Mohd Nazrul Zuqira Mohd Fauzee dan Marcos Iten Anak Meluda.

Projek ini merupakan produk teknologi bantuan yang membantu pengimpal untuk membuat lengan mereka tetap berada di kedudukan yang sama.

Selain itu, kedudukan dan sudut lengan dapat diselaraskan mengikut keselesaan pengguna. Oleh itu, alat sokongan lengan laras automatik ini dapat membantu dalam melakukan semua jenis aktiviti kimpalan.

Kelebihan alat ini adalah untuk kebaikan otot, sendi dan fungsi sistem motor pengguna.

Manakala, projek inovasi bertajuk Pyrolysis: From Plastic Waste To Petroleum Product terdiri daripada seorang pensyarah; Safwan Hafizi Bin Masakhoh bersama empat orang pelajar iaitu Aaron Anak Anjat, Jacksion Anak Simon, Manggie Anak Meluda dan Sylvestian Saba Sipadinma.

Projek Pirolisis adalah proses memecahkan rantai polimer ke dalam sebatian yang lebih mudah melalui proses pemanasan atau pembakaran tanpa kehadiran oksigen. Sisa plastik diuraikan dan ditukar menjadi bahan bakar melalui proses Pirolisis.

Plastik yang terbakar akan menghasilkan stim dalam tangka dan wap bergerak melalui saliran paip, kemudian ianya disejukkan untuk menjadi cecair.

Cecair tersebut akan disimpan di dalam tangki simpanan dan boleh digunakan sebagai bahan bakar. Selain itu, menerusi kajian ini antara jenis plastik yang dapat dihasilkan adalah plastik Polipropilena (PP), Polietelena (PE) dan Polietelena Terefathalat (PET).

Sementara itu, Zaeime Sulong @Zakaria selaku pengurus pasukan IKM Bintulu berkata beliau dan pasukan mendapat pengalaman berharga ketika diberi peluang menyertai IPITEX di Bangkok, baru- baru ini.

Katanya, kejayaan diraih merupakan pencapaian terbaik dan bersejarah buat IKM Bintulu sambil menambah ia juga menjadi penyuntik semangat kepada warga kerja dan para pelajar yang lain untuk terlibat sama dalam membangunkan teknologi dan mencipta inovasi baharu pada masa akan datang.

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan pihak IKM Bintulu malah telah mengharumkan organisasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dipersada dunia, ujarnya.

Hal ini membuktikan organisasi kita mampu bersaing dengan negara luar yang maju dalam bidang teknologi malah telah membuktikan bahawa pelajar IKM Bintulu berkeupayaan dalam menjana idea seterusnya mencipta inovasi yang bertaraf antarabangsa.

Pihak IKM Bintulu dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan jutaan tahniah kepada para pemenang. Kami merasa bangga dan kagum di atas usaha serta titik peluh para peserta dalam mencapai kejayaan yang berprestij ini.

Diharapkan kejayaan ini mampu memberi impak kepada masyarakat Malaysia tentang kepentingan penglibatan dalam pembangunan projek inovasi serta kebaikannya, tambahnya lagi.

Suara Sarawak