KUCHING: Seramai 64 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kuching baru-baru ini.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi selama dua hari bermula 11 hingga 12 Mac itu menyasarkan tapak pembinaan, premis makanan serta pusat hiburan yang dipercayai menggaji atau menempatkan warga asing tanpa dokumen sah.
“Serbuan yang bermula seawal pagi melibatkan 34 pegawai penguat kuasa imigresen dengan tumpuan diberikan di sebuah tapak pembinaan di Muara Tebas serta beberapa kedai makan di Pending Heights,” katanya dalam kenyataan.
Tambah JIM, hasil pemeriksaan terhadap individu di lokasi terbabit mendapati sebahagian daripada warga asing berkenaan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Katanya, operasi kemudian diteruskan pada waktu malam dengan serbuan di sebuah pusat hiburan di sekitar bandar Kuching.

“Dalam serbuan itu, seramai 22 warga asing berjaya ditahan yang terdiri daripada warganegara China, Vietnam, Laos, Filipina dan Indonesia.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
“Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak imigresen bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini,” katanya.
Jabatan itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau individu yang didapati melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.






