MIRI: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri merekodkan peningkatan jumlah kes jenayah bagi tempoh Januari tahun ini, berbanding waktu yang sama pada tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, ia termasuk kesalahan jenayah komersial, jenayah indeks dan kemalangan jalan raya.
“Jenayah komersial mengalami peningkatan sebanyak enam kes atau 22.22 peratus iaitu 33 kes pada Januari lalu, berbanding mencatatkan 27 kes pada tahun sebelumnya.
“Bagi jenayah indeks pula, terdapat peningkatan sebanyak 24 kes atau 109 peratus iaitu 46 kes direkodkan, manakala 22 kes pada Januari 2023.
“Sementara, bagi kemalangan jalan raya pula terdapat peningkatan sebanyak 26 kes atau 8.7 peratus iaitu 324 kes, berbanding 298 kes yang direkodkan pada Januari tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Miri di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, tangkapan bagi jenayah narkotik pula mengalami penurunan kepada 30 tangkapan atau 23.8 peratus iaitu 96 tangkapan direkodkan berbanding 126 pada Januari 2023.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa warga IPD Miri perlu meningkatkan rondaan cegah jenayah di kawasan-kawasan yang sering berlaku jenayah dan juga yang disyaki menjadi sarang penagih dadah.


