NEW DELHI: Kerajaan India pada Sabtu menggunakan kuasa kawal selia dan mengumumkan had tambang bagi membendung kenaikan harga tiket penerbangan susulan krisis operasi di IndiGo yang membawa kepada pembatalan besar-besaran penerbangan serta lonjakan tambang, lapor Xinhua.
Kementerian Penerbangan Awam Persekutuan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat penerbangan supaya mematuhi sepenuhnya had tambang yang ditetapkan bagi melindungi penumpang daripada sebarang bentuk penetapan harga yang disengajakan.
Kementerian itu berkata ia akan terus memantau harga tambang melalui data masa nyata serta penyelarasan aktif dengan syarikat penerbangan dan platform perjalanan dalam talian.
Dalam kenyataan berasingan, kementerian berkata ia telah mengarahkan IndiGo, syarikat penerbangan terbesar di India, supaya menyelesaikan semua bayaran balik penumpang tanpa sebarang kelewatan.
Krisis operasi IndiGo berpunca daripada kekurangan juruterbang dan kru penerbangan berikutan pelaksanaan peraturan baharu Had Masa Tugas Penerbangan (FDTL) yang menetapkan tempoh rehat lebih panjang kepada kakitangan. IndiGo mengakui telah tersilap menilai jumlah juruterbang yang diperlukan di bawah peraturan FDTL baharu itu.
Kerajaan India turut mengarahkan siasatan terhadap apa yang digelar sebagai “salah urus” IndiGo dan memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menentukan pihak bertanggungjawab atas kegagalan tersebut.
— BERNAMA-XINHUA






