Indonesia dan Malaysia bentuk jaringan eko pelancongan

LUBUK ANTUK (Kalimantan Barat): Yayasan Hidupan Liar Sedunia (WWF) Indonesia dan Malaysia berusaha untuk membentuk jaringan eko pelancongan antara kedua-dua negara.

Ketua Projek Inisiatif Iklim Antarabangsa (IKI) Kalimantan, Jimmy Syahirsyah berkata, langkah membentuk rangkaian eko pelancongan ini dengan memanfaatkan sempadan antara Kalimantan Barat dan Sarawak.

“Kita melihat sempadan Badau-Lubuk Antu sebagai jalan masuk utama pelancong antara dua negara (Indonesia dan Malaysia).

“Maka, kita ingin mewujudkan pakej pelancongan dan untuk merealisasikannya, perbincangan pertama pada September tahun lalu dilaksanakan di Sri Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama rombongan WWF Malaysia dan lima pengamal media berpangkalan di Sarawak di daerah Hulu Gurung di sini, hari ini.

Jimmy Syahirsyah berlatarbelakangkan Bukit Piabung, Desa Lubuk Antuk, Kapuas Hulu di Kalimantan Barat, Indoneisa.

Kata Jimmy, pihaknya merancang untuk membangunkan Bukit Piabung, Desa Lubuk Antuk, Kapuas Hulu sebagai destinasi eko pelancongan.

“Bukit Piabung masih asli dengan alam semula jadi yang setinggi 1,140 kaki apabila sesuai untuk aktiviti mendaki.

“Malah, terdapat gua dan air terjun di bukit berkenaan,” jelasnya.

Katanya, di bahagian Malaysia, WWF Indonesia dan Malaysia merancang untuk membangunkan Rumah Manggat, Ulu Menyang, Batang Ai sebagai destinasi eko pelancongan.

“Kampung itu yang kaya dengan penanaman teh gaharu sesuai untuk dijadikan sebagai eko pelancongan secara mampan.

“Selain itu, kita ingin mengembangkan Taman Negara Danau Setarung yang berhampiran sempadan Badau-Lubok Antu sebagai eko pelancongan,” katanya.

Menurut Jimmy, perbincangan seterusnya mengenai pelaksanaan eko pelancongan WWF Malaysia-Indonesia akan diadakan di Rumah Manggat pada Julai depan.

Beliau turut berkata, sesi perbincangan melibatkan wakil kerajaan Indonesia dan Sarawak (Malaysia), sektor swasta dan ejen pelancongan.

“Sebagai pemulaan, kita membawa masuk pelancong dari Malaysia untuk menilai kepantasan pergerakan mereka.

“Ini termasuk imigresen, kastam, pengangkutan antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Kemudian menurut Jimmy, pelancong dari Indonesia pula akan dibawa ke Sarawak dan hasil daripada itu, setiap kelemahan dinilai secara terperinci.