JAKARTA: Indonesia memperoleh kelulusan untuk meneruskan operasi minyak dan gas di Venezuela ketika negara itu meneroka sumber tenaga alternatif di luar kawasan yang terjejas akibat ketegangan di sekitar Selat Hormuz.
Timbalan Menteri Luar Arif Havas Oegroseno berkata Indonesia turut meneliti peluang pelaburan di bahagian lain Amerika Latin sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara.
“Kami baru memperoleh kebenaran untuk meneruskan operasi di Venezuela. Kami akan cuba melabur di kawasan sekitar Amerika Latin,” katanya pada Khamis.
Menurut laporan media, syarikat minyak milik negara Indonesia, Pertamina, menerusi unit huluannya mengendalikan aset minyak di Venezuela, namun operasi terganggu selepas Amerika Syarikat (AS) menggantung lesen yang diberikan kepada syarikat minyak asing yang beroperasi di negara itu pada 2025.
Havas berkata Indonesia pada masa sama memperluas sumber bekalan minyak mentah dari Afrika bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan perkapalan yang melalui Selat Hormuz.
“Kami kini giat bekerjasama dengan Algeria, Nigeria dan Angola, dan banyak bekalan minyak kami datang dari Afrika,” katanya.
Ditanya mengenai kesan lebih luas ketegangan yang menjejaskan laluan strategik itu, Havas berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan makroekonomi global sambil menyatakan sektor seperti minyak dan gas, plastik serta baja mungkin terjejas.
Beliau menambah bekalan helium juga berdepan risiko gangguan memandangkan kira-kira 30 peratus bekalan helium global berasal dari Qatar dan digunakan dalam pembuatan semikonduktor. – BERNAMA



