KUCHING: Indonesia menerima sokongan antarabangsa, termasuk pengerahan pesawat asing bagi memperkukuh operasi menangani kebakaran hutan dan tanah yang melanda beberapa kawasan di Kalimantan.
Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching, Abdullah Zulkifli berkata, kerajaan Indonesia memberi kebenaran kepada 35 pesawat asing dari Australia, Rusia, Amerika Syarikat, Ukraine, New Zealand, Laos, Vietnam dan Kanada untuk menyertai operasi pemadaman.
Jepun turut membantu menerusi pengerahan kapal JS Kunisaki bersama tiga helikopter CH-47 bagi menyokong operasi berkenaan.
“Indonesia kekal terbuka terhadap kerjasama dan sokongan antarabangsa dalam pengurusan bencana, selaras dengan keperluan dan mekanisme yang berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi.
Abdullah berkata, setakat 2 September, sebanyak 53 pesawat digerakkan di kawasan keutamaan bagi menangani kebakaran hutan dan tanah.
Daripada jumlah itu, 19 pesawat digunakan untuk rondaan udara dan menyokong Operasi Pengubahsuaian Cuaca, manakala 34 lagi dikhususkan untuk operasi pengeboman air.
Katanya, operasi pemadaman turut dilaksanakan secara bersepadu di darat dengan membabitkan Kementerian Perhutanan Indonesia, Manggala Agni, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), agensi pengurusan bencana wilayah, Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Negara Republik Indonesia (Polri), pihak berkuasa wilayah, masyarakat dan sukarelawan.
Antara cabaran utama ialah cuaca panas dan kering, kebakaran di kawasan tanah gambut, kesukaran mengakses lokasi, sumber air terhad serta asap tebal yang menjejaskan jarak penglihatan dan operasi penerbangan.
“Di kawasan tanah gambut, api boleh terus membara di bawah permukaan dan kembali menyala walaupun kebakaran di permukaan telah dipadamkan.
“Justeru, kerja membasahkan kawasan dan penyejukan perlu diteruskan bagi mengelakkan kebakaran berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan Indonesia turut melaksanakan Operasi Pengubahsuaian Cuaca menerusi kaedah pembenihan awan bagi meningkatkan potensi hujan di kawasan terjejas.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan operasi bergantung kepada keadaan atmosfera dan kewujudan awan yang sesuai untuk proses pembenihan.
Beliau berkata, situasi kebakaran masih memerlukan perhatian serius walaupun jumlah titik panas di seluruh Indonesia menurun daripada 1,370 pada 1 September kepada 1,294 pada 2 September.


