KUCHING: Indonesia mempertingkatkan usaha mereka dalam mencegah dan memadam kebakaran hutan dan tanah di kawasan terjejas secara menyeluruh susulan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat Sarawak berhubung perkembangan kualiti udara baru-baru ini.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kuching berkata, usaha intensif itu membabitkan darat dan udara itu merangkumi peningkatan rondaan sistem amaran awal, pengerahan segera pasukan pemadam kebakaran di darat, operasi pengeboman air secara berterusan, operasi pengubahsuaian cuaca secara bersasar melalui pembenihan awan serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap aktiviti pembakaran secara haram.
Katanya, tindakan bersepadu itu dilaksanakan sepanjang masa bagi melindungi masyarakat, memelihara ekosistem serta mengurangkan potensi kesan kebakaran.
“Sebagai negara jiran yang mempunyai hubungan persahabatan yang erat, sempadan bersama dan hubungan dua hala yang kukuh, Indonesia memberikan keutamaan tinggi terhadap kesihatan, kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat di Sarawak serta Indonesia.
“Atas semangat solidariti dan tanggungjawab bersama, Kerajaan Republik Indonesia terus melaksanakan langkah menyeluruh, berterusan dan proaktif bagi mencegah serta memadam kebakaran hutan dan tanah di kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
KJRI Kuching berkata, Kerajaan Indonesia kekal komited untuk mengekalkan komunikasi rapat, perkongsian maklumat dan kerjasama serantau dengan semua pihak berkepentingan, termasuk menerusi kerangka Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution).
Jelasnya, kerjasama itu memperkukuh strategi pencegahan bersama, meningkatkan penyelarasan serantau serta meminimumkan potensi kesan alam sekitar dan sosioekonomi rentas sempadan.
“KJRI Kuching terus memantau perkembangan situasi dengan rapat dan aktif menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa serta pemegang taruh berkaitan di Sarawak.
“Dengan semangat muhibah dan keazaman bersama, KJRI Kuching berharap segala usaha bersepadu itu dapat segera membuahkan hasil positif bagi memastikan kualiti udara dan aktiviti harian di Sarawak serta kawasan sekitarnya kembali sepenuhnya kepada keadaan normal,” katanya.



