KUCHING: Industri halal semakin menonjol sebagai pemacu baharu ekonomi Sarawak apabila kerajaan negeri memperkukuh kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dalam pembangunan ekosistemnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, industri tersebut bukan sahaja mempunyai potensi besar dalam sektor makanan, malah turut merangkumi pelbagai sektor perkhidmatan dan industri bernilai tinggi yang lain.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan negeri dengan UiTM Sarawak kini sedang diperkukuh menerusi pelan tindakan strategik bagi membangunkan industri halal secara lebih menyeluruh.
“Kerajaan Sarawak kini sedang bekerjasama dengan UiTM Sarawak untuk merangka pelan tindakan strategik bagi memperkukuh pembangunan industri halal, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
“Insya-Allah, dengan kerjasama ini kita akan dapat merancang bagaimana membangunkan industri halal, bukan sahaja dalam bidang makanan, tetapi juga dalam bidang perkhidmatan kerana pasarannya begitu luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Separuh Masa Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM Sarawak, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, pembangunan industri halal perlu disokong oleh modal insan yang berkemahiran tinggi bagi memastikan peluang ekonomi dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Ini kerana kejayaan pelajar separuh masa membuktikan keberkesanan ekosistem pendidikan fleksibel dalam melahirkan tenaga kerja berdaya saing yang mampu mengimbangi komitmen pekerjaan, keluarga dan pengajian.
“Sinergi antara ilmu dengan kerjaya ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun Sarawak telah diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia sejak 2022, tumpuan kerajaan negeri kini adalah untuk terus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat secara berterusan.
“Usaha ini akan terus diperkasakan menerusi pendidikan, pembangunan modal insan serta peningkatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan berpendapatan tinggi,” tambahnya.
Tegasnya, agenda pembangunan Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sebagai asas kelestarian masa depan negeri.
“Justeru, saya berharap pelajar terus menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran agar mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah.



