ARTIKEL

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon.

Industri Insurans Am Catat Prestasi Kukuh, GWP RM24.2 Bilion pada 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Industri insurans am Malaysia mencatat prestasi kukuh pada 2025 dengan Premium Bertulis Kasar (GWP) meningkat kepada RM24.2 bilion, naik 4.8 peratus berbanding RM23.1 bilion pada 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, industri turut mencatat peningkatan keuntungan pengunderaitan kepada RM1.2 bilion dengan pertambahan RM125 juta tahun ke tahun.

“Pertambahan ini dengan nisbah gabungan kekal stabil sekitar 93 peratus hasil disiplin pengunderaitan yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, segmen insurans motor yang merangkumi 45.2 peratus daripada portfolio industri mencatat GWP RM10.9 bilion, namun masih merekodkan kerugian pengunderaitan sebanyak RM289.3 juta susulan tekanan kos tuntutan yang terus meningkat.

“Malaysia Timur mencatat nisbah kerugian kereta persendirian lebih rendah iaitu 45 peratus berbanding Semenanjung Malaysia, selain kadar kekerapan tuntutan jauh lebih rendah pada 1.7 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus.

“Kos tuntutan di Malaysia Timur kekal tinggi secara konsisten dengan purata sekitar RM12,000 bagi setiap tuntutan,”ujarnya.

Menjelas lanjut, segmen insurans kebakaran yang merupakan portfolio kedua terbesar industri berkembang 6.9 peratus kepada RM5 bilion, sekali gus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan industri serta mencatat keuntungan pengunderaitan tertinggi sebanyak RM700.8 juta.

“Pun begitu, kadar pengambilan perlindungan banjir di bawah insurans kebakaran masih rendah iaitu sekitar 21 peratus meskipun risiko bencana semakin meningkat.

“Bahkan, purata kos tuntutan kerosakan material kebakaran turut meningkat kepada RM109,000 pada 2025 berbanding RM89,000 pada tahun sebelumnya, dipacu kenaikan kos pembinaan semula serta inflasi nilai hartanah,”jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata segmen insurans kemalangan diri (PA), industri merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 12.2 peratus kepada RM1.6 bilion.

“Peningkatan ini disokong peningkatan pembelian insurans perjalanan, penggunaan platform digital dan pemulihan berterusan sektor pelancongan yang turut merancakkan perbelanjaan pengguna,”tambahnya.

Sementara itu, segmen Marin, Penerbangan dan Transit (MAT) mencatat penguncupan kecil sebanyak 2.2 peratus kepada RM1.79 bilion, namun masih mengekalkan keuntungan pengunderaitan sebanyak RM108.1 juta.

Mengulas cabaran masa depan industri, Chua berkata, risiko perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik, inflasi serta perkembangan teknologi kenderaan elektrik (EV) dijangka terus memberi kesan kepada landskap industri insurans negara.

Dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna, beliau berkata PIAM turut memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk aplikasi Digital Roadside Assistance (DRA) serta meneruskan Program Perlindungan Tenang 3.0 yang merekodkan hampir 68,000 polisi setakat April tahun ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU