Industri kreatif terjejas

KUCHING: Walaupun beberapa sektor ekonomi di negeri ini dibuka semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun beberapa sektor kreatif misalnya melibatkan industri pengurusan majlis, industri seni kreatif seperti perkahwinan serta industri perlancongan tidak boleh dipinggirkan sewenang-wenangnya dalam tempoh ini.

Timbalan Pengerusi DEWANITA Negeri, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Dr. Sharifah Suzana Wan Shukran berkata, sekiranya keadaan kini berlarutan untuk tempoh yang lama sepanjang tahun ini semua pemain industri akan terkesan teruk walaupun kini menyedari adanya larangan untuk program melibatkan perjumpaan besar.

“Umum mungkin hanya melihat isu ini secara am tetapi jika dilihat dengan lebih mendalam, ia tidak ubah seperti rantaian utama kepada ramai pemain industri yang menyokong industri induk ini dan menyebabkan ramai hilang mata pencarian.

“Seperti agensi pelancongan, syarikat pengurusan majlis, penceramah, pereka fesyen, tukang jahit, jurutatarias, pihak penyedia makanan, pengusaha dekorasi majlis, penyanyi , kugiran, dan sebagainya ini hilang sumber pendapatan kerana mereka bergantung kepada majlis keramaian ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Malah katanya, ia realiti yang pahit perlu diterima untuk pemain industri yang bergerak solo dan tidak mendaftarkan diri mereka dibawah syarikat peniagaan berdaftar, malah ini jelas menyebabkan mereka tidak layak mendapat sebarang bantuan dari kerajaan yang dikhususkan untuk peniaga yang berdaftar.

“Seakan-akan menjadi norma baharu apabila sejak bermulanya wabak ini lebih ribuan acara dibatalkan, apabila terdapatnya larangan untuk mengadakan acara keramaian, pengusaha hotel dan dewan acara akan secara langsung kehilangan punca pendapatan dan sekali gus pengusaha dan pembekal lain turut sama-sama jatuh ke kancah kerugian.

“Ini juga termasuk kepada industri seni kreatif yang banyak menyumbang kepada sektor kraf tangan, fesyen, akeseori dan sebagainya turut terkesan, kerana kita ketahui Sarawak adalah sebuah negeri yang kaya dengan hasil seni dan kraftangan, malah telah melahirkan ramai individu bakat dalam industri ini,” ujarnya lagi.

Jelasnya dengan kehadiran golongan berbakat ini, mereka ialah penyokong kepada sektor pelancongan negeri Sarawak tanpa disedari.

Pemain-pemain industri ini juga telah mendapat kesan yang mendalam semasa musim Hari Raya dan Gawai yang mana dalam tempoh inilah sepatutnya mereka mendapat pendapatan.

“Tetapi kini perniagaan mereka tidak dapat diteruskan seperti biasa disebabkan kurangnya permintaan, kekangan pergerakan dan kesulitan untuk mendapatkan bahan dan bekalan kini.

Malah mereka turut berkongsi dengan saya bahawa mereka telah putus harapan untuk mendapatkan sebarang bantuan dari kerajaan.

“Kini perkara yang mereka perlukan adalah untuk terus bergerak ke hadapan, dengan melihat hala tuju industri dan melihat apakah tindakan dari pihak kerajaan, sesungguhnya ketidakpastian masa depan mereka ini menimbulkan kegelisahan dan merugikan pemilik perniagaan kecil industri yang terpaksa untuk menutupkan operasi,” tegasnya lagi.

CADANGAN UNTUK KERAJAAN

Beliau turut mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan dalam usaha menangani masalah tersebut iaitu pertama kerajaan perlu mewujudkan satu keputusan berkenaan hala tuju sektor-sektor kreatif ini kerana setakat ini tiada kenyataan dibuat dan ini menimbulkan kerisauan.

“Kementerian yang berkenaan perlu mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menghadapi cabaran yang dihadapi dan pada masa yang sama, akan membina pendekatan yang lebih mantap dan menguntungkan untuk organisasi perniagaan yang berkaitan.

“Saya juga bercadang supaya industri acara dan majlis dibenarkan secara ‘hibrid’ atau “maya”” iaitu menampilkan gabungan komponen langsung dan maya melalui infrastruktur fizikal dan digital.

Melalui ini, sejumlah orang mungkin hadir di lokasi fizikal dengan mematuhi SOP , sementara penonton pada umumnya menghadiri acara dari dalam talian,” katanya.

Malah ujarnya dengan adanya acara hybrid ini sekurang-kurang dapat menyelamatkan sektor ini dari terus ‘dimatikan’.

“Adalah tidak adil sekiranya masyarakat berpendapat bahawa acara majlis harus diberhentikan terus kerana dikhuatiri menyebabkan penularan wabak.

Masyarakat juga harus bertimbang rasa dengan mereka yang kehilangan sumber pendapatan, adakah mereka akan dibiarkan untuk kehilangan punca pencarian sepanjang tahun?,” soalnya lagi.