Industri madu kelulut berpotensi besar dalam pasaran dunia

KUALA NERUS:  Saiznya hanya tiga ke lima milimeter sahaja tetapi lebah kelulut atau meliponines mempunyai potensi besar dalam menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran madu lebah dunia.

Selain sifatnya yang tidak bersengat, lebah spesies ini adalah lebih jinak daripada lebah biasa dan sesuai diternak secara besar-besaran, kata pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail.

Beliau berkata kesakitan akibat gigitan kelulut agak ringan dan kecil serta tidak memberi sebarang kesan, justeru membolehkan sesiapa sahaja termasuk suri rumah, ibu tunggal dan kanak-kanak untuk berkecimpung dalam penternakan kelulut ini.

Dianggarkan, terdapat antara 750 hingga 1,000 orang di seluruh negara menceburi bidang penternakan kelulut dan beliau optimis bahawa industri madu kelulut boleh berkembang menjadi industri besar pada masa 10 tahun akan datang.

Wan Iryani merupakan Ketua Projek Jawatankuasa Penyediaan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 yang dilancarkan November tahun lepas sebagai antara usaha kerajaan untuk mengangkat industri kelulut sebagai sumber pendapatan baharu yang mampan dan kukuh.

Beliau berkata kelulut yang diternak di Malaysia terdiri daripada spesies tempatan, sekali gus penternak dapat mengurangkan kos dan kebergantungan terhadap pengimportan lebah dari luar negara.

“Kebanyakan penternakan lebah kita dapat sumber dari luar negara termasuk Taiwan dan  Australia. Jadi ini menimbulkan banyak isu, apabila kita import lebah dari luar secara tidak langsung kita import masalah-masalah berkaitan lebah seperti penyakit,” katanya ketika ditemui Bernama, di UMT di sini.

Wan Iryani berkata keadaan itu berlaku pada 1980 apabila lebah yang diimport dari Taiwan membawa penyakit yang turut memusnahkan penternakan lebah di seluruh Malaysia.

“Kita juga menghadapi masalah kerana tidak mampu untuk menternak lebah tempatan kerana ia kurang jinak berbanding lebah import,” katanya.

Mengenai madu yang dihasilkan lebah kelulut, Wan Iryani berkata ia mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding madu lebah, dan khasiatnya itu antara lain melambatkan proses penuaan.

Beliau berkata terdapat bahan aktif dalam madu kelulut yang tidak ada pada madu lebah dan pihaknya masih dalam proses mengenal pasti apakah bahan aktif itu dan kesannya.

Sementara itu, Wan Iryani berkata madu kelulut berpotensi menjadi antara komoditi utama negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang sekiranya dapat mengatasi cabaran yang ada ketika ini.

“Cabaran utama kita ialah pasaran antarabangsa belum lagi mengiktiraf madu kelulut sebagai ‘madu’ seperti yang dihasilkan lebah kerana beberapa cirinya tidak memenuhi ‘piawaian’ yang ditetapkan pasaran antarabangsa.

“Ini kerana rasa madu kelulut agak masam dan teksturnya lebih cair sedangkan madu yang mengikut piawaian antarabangsa mestilah manis dan agak likat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mempergiatkan lagi usaha untuk mempromosikan keistimewaan madu kelulut agar lebih dikenali di pasaran antarabangsa berdasarkan khasiatnya yang tersendiri dan unik.

“Proses ini bukanlah mudah dan memerlukan gabungan beberapa jabatan dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Kesihatan.

“Tindakan proaktif ini pasti memberi manfaat yang sangat besar untuk pemain industri madu kelulut di Malaysia bahkan menjadi satu sumber kekayaan baharu untuk mereka yang menceburinya,” katanya.

Tambahnya, masa depan cemerlang untuk industri ini juga memerlukan satu badan khas seperti penubuhan Majlis Lebah Kelulut Negara agar wujud satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih bersistematik untuk memantau semua perkara berkaitan.

“Namun, industri madu kelulut ini masih baharu di negara kita, sudah pasti proses menubuhkan majlis seumpama itu akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

“Oleh itu, pelan tindakan pembangunan ini mencadangkan satu tindakan drastik untuk jangka masa pendek iaitu mewujudkan jawatankuasa khas sebagai pembuat dasar dan satu jawatankuasa teknikal untuk peringkat pelaksanaan,” katanya.

Suara Sarawak