Influenza, demam selesema tidak sama

KUCHING: Influenza dan demam selesema tidak sama, demikian kenyataan Kementerian kesihatan
Malaysia (KKM).

Menurutnya, walaupun kedua-duanya mempunyai gejala yang hampir sama tetapi influenza menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk dengan menyebabkan komplikasi serius.

“Sesiapa yang ada gejala batuk dan bersin yang kuat, tolonglah tutup mulut. Selepas itu, basuh tangan.

“Jika tidak, kuman akan merebak ke persekitaran dan lebih ramai akan dijangkiti,” ujarnya.

Kata kenyataan itu lagi, antara tanda dan gejala influenza yang patut diketahui umum ialah mereka yang dijangkiti influenza akan demam melebihi 38 darjah celsius berbanding demam selesema kurang daripada 38 darjah celsius.

Pesakit juga akan berasa letih dan lesu teruk yang berlarutan hingga dua ke tiga minggu jika dijangkiti influenza berbanding sangat ringan kepada mereka yang dijangkiti demam selesema.

Gejala lain ialah individu akan berasa sakit otot dan sendi dari sederhana ke teruk berbanding ringan untuk demam selesema.

“Individu tersebut akan batuk teruk, tidak berkahak pada peringkat awal jika dijangkiti influenza.

Dia juga mungkin menghidapi hidung berair dan hingus tahap ringan atau tiada langsung.

“Sebaliknya kepada individu yang menghidapi demam selesema, dari segi batuk mungkin tiada atau ringan tetapi hidung berair dan berhingus teruk,” jelasnya.

Tanda lain untuk influenza katanya, individu berkenan akan kerap bersin berbanding mereka yang menghidap demam selesema.

“Individu yang terkena influenza akan berasa sakit tekak dari tahap sederhana ke teruk, sementara pesakit demam selesema tidak merasai tanda-tanda tersebut,” ujarnya.

Dari segi sakit kepala pula, gejala untuk mereka yang dijangkiti influenza adalah dari sederhana ke teruk berbanding ringan untuk pesakit demam selesema.

“Punca jangkitan influenza ialah disebabkan oleh virus influenza A, B atau C.

“Punca demam selesema pula kerana Adenovirus, Rhinovirus, Parainfluenza virus, Corona virus atau lain-lain,” katanya.