Infrastruktur lengkap gilap potensi ekonomi zon lapan

SARIKEI: Suntikan kewangan kerajaan untuk penambahbaikan infrastruktur mampu mengilap potensi besar beberapa kawasan di Zon Lapan dalam pelbagai bidang khususnya pertanian.

Selaras dengan usaha itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, tiga perkara penting perlu diberi keutamaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat seterusnya mengubah landskap ekonomi di wilayah berkenaan.

Katanya, jajaran jalan raya perlu dibina berhampiran pulau besar yang menjadi penempatan Bukit Huang, Muara Mayang dan Parit Bugis.

“Kawasan yang terletak di seberang Sarikei ini dihuni oleh kaum Cina (Bukit Huang) 68 rumah, Iban (Muara Payang) 128 pintu dan Melayu-Bugis (Parit Bugis) sembilan buah rumah, dulunya hampir 100 buah rumah dan mempunyai sejarah sebagai pengeluar nanas Sarikei yang terkenal di seluruh negara,” katanya dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Jerayawara GPS Zon Lapan, hari ini.

Beliau berkata, pulau itu juga mempunyai Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang dan 11 buah rumah panjang manakala lima daripadanya terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang dan selebihnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Semop.

Kawasan itu katanya, bukan sahaja luas tetapi juga memiliki tanah-tanah berpotensi untuk dimajukan bagi tujuan berkenaan di samping mempunyai penduduk yang kental dan tahan lasak.

“Di dalam keadaan yang serba kekurangan kawasan ini dapat mengeluar sayur-sayuran lebih dari 200 kilogram(kg) sehari untuk pasaran Sarikei dan kawasan di sekelilingnya.

“Saya memohon kerajaan negeri menyalurkan peruntukan untuk membina ban yang amat diperlukan bagi menyambung mata pencarian mereka yang terbengkalai. Untuk sementara waktu, saya juga memohon kerajaan negeri menyediakan feri bagi memudahkan mereka mengeluarkan hasil pertanian,” katanya.

Beliau juga berkata, sekurang- kurang RM50juta diperlukan untuk membina jalan tujuh kilometer (km) dari Selalang- Kerubong- Sare dan seterusnya ke Sarikei.

Rangkaian jalan itu katanya, merupakan alternatif kedua untuk penduduk kawasan pesisir Kabong, Sessang, Nyabor, Gerigat untuk ke Sarikei dan seterusnya ke Sibu selain daripada menggunakan Pan Borneo.

“Selain memendekkan tempoh perjalanan, jalan raya ini juga memberi manfaat kepada 13 rumah panjang di mana kemudahan asas seperti air dan elektrik dapat dinikmati oleh rumah panjang berkenaan pada masa akan datang.

“Jalan dari Pan Borneo menuju ke Jalan Pasi dengan jarak lebih kurang 14 km yang mana pada masa ini dalam kategori R3. Jalan ini menjimatkan masa penduduk Pakan, Kanowit, Julau dan sebagainya untuk membawa produk mereka langsung ke Tanjung Manis.

“Jika semua kemudahan ini disediakan saya yakin kawasan ini mampu mengeluarkan lebih banyak hasil pertanian malah mungkin dapat dieksport ke luar negara,” katanya.

Suara Sarawak