ARTIKEL

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas | Foto: UKAS

Infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat jadi keutamaan — Uggah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat bagi memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, kerajaan kini giat melaksanakan projek menaik taraf 5,979 kilometer bekas jalan balak di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kesalinghubungan dan akses komuniti luar bandar.

“Jalan raya yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan hubungan antara kawasan, malah membuka peluang ekonomi serta memperluas akses kepada kemudahan kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai Dayak 2026.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merupakan langkah bersejarah dalam pembangunan modal insan negeri.

Menerusi skim itu, anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk undang-undang dan psikologi di universiti milik Sarawak tanpa membebankan keluarga.

“Pendidikan ialah kunci untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan membina masa depan lebih baik bagi generasi muda,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata kadar bantuan SKAS 2026 telah dinaikkan kepada RM1,100 setahun bagi isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi individu bujang.

Tambahnya, pembayaran SKAS dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa kedua bermula pada 15 Mei lalu.

Mengenai sambutan Gawai Dayak, beliau berkata perayaan itu menjadi ruang masyarakat Dayak menzahirkan kesyukuran, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memelihara warisan budaya dan adat resam.

Beliau turut menegaskan semangat perpaduan perlu terus diperkukuh selaras dengan konsep Segulai Sejalai.

“Marilah kita terus bersatu dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak yang makmur, inklusif dan lestari,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak serta berharap sambutan tahun ini membawa kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran kepada semua.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU