ARTIKEL

Fatimah menyampaikan geran MRP kepada penerima. Foto: MOHD ALIF NONI

Inisiatif Dikekalkan, Negeri Lain Cuba Contohi Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keberhasilan Kerajaan Sarawak dalam mengekalkan pelbagai inisiatif rakyat secara konsisten menggambarkan satu kisah kejayaan nyata negeri ini, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata, kejayaan ini dapat dibuktikan melihat kepada usaha negeri-negeri lain yang cuba memperkenalkan inisiatif serupa dengan Kerajaan Sarawak.

“Kalau kita bandingkan dengan tempat lain, mereka juga cuba sediakan inisiatif yang serupa dengan kita, tetapi hanya bertahan untuk beberapa tahun.

“Alhamdulillah, beberapa inisiatif yang kita mulakan pada awal tahun 2019 masih dilaksanakan sehingga sekarang. Ini satu kisah kejayaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat EFS di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Fatimah juga menyifatkan kejayaan itu sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengekalkan program yang memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar melaksanakannya dalam tempoh singkat.

Pada masa sama, beliau memuji usaha Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang terus mencari jalan untuk menambah pendapatan negeri, sekali gus memastikan inisiatif tersebut mampu dibiayai secara berterusan tanpa mengurangkan kualiti pelaksanaannya.

“Usaha pemimpin kita adalah memastikan inisiatif dapat dikekalkan, rakyat dapat hidup sejahtera. Di mana kita nak cari kerajaan macam ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar Persidangan DUN akan datang terus memberi tumpuan kepada kesinambungan pelbagai inisiatif rakyat yang telah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu.

“Kementerian mempunyai banyak jangkaan terhadap pembentangan tersebut, khususnya memastikan inisiatif yang telah dilaksanakan diteruskan.

“Bagi kami, ia memberi manfaat kepada orang ramai. Ia menyentuh hati orang dan mempunyai kesan yang sangat tinggi kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti pada hari yang sama sempat menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada 26 penerima dalam kalangan persatuan, kelab dan lain-lain.

Usaha ini bagi menampung keperluan serta memudahkan segala aktiviti yang diuruskan pihak berkenaan untuk kepentingan komuniti setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU