KUCHING: Warga emas di Sarawak kini menikmati lebih banyak pilihan perkhidmatan, dengan inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC) yang mempunyai sebanyak 1,035 rakan strategik yang menawarkan pelbagai kemudahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata inisiatif yang menyediakan pelbagai keistimewaan itu, termasuk dalam bentuk diskaun, setakat ini memberi manfaat kepada seramai 357,867 pengguna di seluruh wilayah ini.
Menurutnya, setakat 31 Disember 2024, KGC mempunyai sebanyak 1,035 rakan strategik.
Sebanyak 288 daripadanya terdapat di Bahagian Kuching, diikuti sebanyak 260 di Sibu, Miri 104, Bintulu 80, Sarikei 54, Sri Aman 49, Mukah 40, Limbang 41, Betong 39, Serian 33, Samarahan 31, dan Kapit 16.
“Kesemua rakan strategik yang terlibat ini menawarkan diskaun serta rebat dari lima hingga 20 peratus bagi perkhidmatan peruncitan, kesihatan, restoran, hotel, pengangkutan, dan banyak lagi.
“Justeru, kita amat mengalu-alukan penyertaan lebih ramai syarikat dan perniagaan swasta kerana semakin banyak pilihan yang tersedia, semakin banyak manfaat yang dapat dinikmati oleh warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memperkenalkan rakan strategik baharu KGC, Jen Lim Convenience Store, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.
Tambah Fatimah, pihaknya akan terus giat menarik lebih banyak penyertaan baharu bagi memudahkan pengguna mendapatkan keperluan harian daripada pelbagai sektor komersial.
“Antara perkhidmatan yang turut disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma dengan nilai RM500 setahun di klinik-klinik tertentu serta Bantuan Ihsan Kematian (BIK) sebanyak RM1,800,” jelasnya.
Dalam pada itu, daripada keseluruhan 357,867 pemegang KGC di seluruh Sarawak, beliau memberitahu seramai 101,394 adalah dari Bahagian Kuching, diikuti seramai 48,675 di Miri, dan 36, 9292 di Sibu setakat 31 Disember 2024.
Mengulas tentang penyertaan perniagaan Jen Lim Convenience Store sebagai rakan strategik baharu, kata Fatimah, ia dikendalikan oleh seorang usahawan wanita dari Dalat yang menawarkan pelbagai produk tempatan.
“Perniagaan ini telah bermula sejak tahun 2006 dengan menjual produk seperti sagu, keropok, kek lapis dan banyak lagi yang dihasilkan oleh usahawan kecil, termasuk ibu tunggal dan wanita dari kawasan luar bandar.
“Justeru, dengan penyertaan perniagaan yang kini mempunyai sejumlah sembilan cawangan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas tetapi juga membantu dalam memasarkan produk usahawan dari seluruh Sarawak,” jelasnya.
KGC merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memberi tawaran potongan harga, pengecualian pembiayaan bagi barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sektor awam, sektor swasta dan perniagaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas.
Objektifnya adalah untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas melalui penyediaan kemudahan dan manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan oleh pelbagai organisasi dan sektor komersial.

