KUCHING: Terdapat projek yang dirancang dan dilaksanakan di Kampung Burung Lilin di sini sebagai usaha untuk meningkatkan kemudahan awam di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, antara projek yang diluluskan ialah projek menaik taraf sistem perparitan di hadapan Masjid Bakti Nur Islam.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Burung Lilin, di sini, malam tadi.
Terdahulu, Lo juga mengumumkan peruntukan RM6,000 iaitu RM3,000 kepada JKKK Kampung Burung Lilin dan RM3,000 lagi kepada Jawatankuasa Masjid Bakti Nur Islam.

Pada masa yang sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada JKKK Kampung Burung Lilin.
Poniman yang juga Pengerusi JKKK Kampung Burung Lilin memaklumkan bahawa, pihaknya sangat menghargai kehadiran tetamu kehormat serta warga kampung dan jemputan khas yang hadir memeriahkan majlis tersebut.
“Kita juga sangat berterima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana meluluskan banyak projek pembangunan di kampung ini melalui Datuk Lo,” ujarnya.
Majlis tersebut dijayakan dengan kerjasama JKKK Kampung Burung Lilin, Jawatankuasa Masjid Bakti Nur Islam dengan Ranting PBB Kampung Burung Lilin.



