Inisiatif rapatkan jurang digital diperlukan – UNDP
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan menggalakkan digitalisasi dan mendorong perniagaan dalam talian terutama semasa pandemik COVID-19 akan memberi peluang besar namun ia perlu dilengkapkan dengan inisiatif merapatkan jurang digital, kata Ketua Pegawai Digital Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Robert Opp.
Beliau berkata digitalisasi membuka peluang kepada lebih ramai orang.
“Bagaimanapun jika berlaku jurang digital atau dengan kata lain, jika anda tidak tersambung atau tidak mempunyai kemampuan atau kemahiran menggunakan peranti, anda akan ketinggalan,” katanya semasa memudah cara sesi Meja Bulat Media Kemampanan AVEVA malam tadi.
Sesi dalam talian itu merungkai cara syarikat terkemuka menerima guna inovasi dan menggunakan perisian pintar untuk membentuk semula operasi perindustrian mereka.

Ia menunjukkan bagaimana teknologi pesat membangun seperti kecerdasan buatan, awan, kembar digital, pengvisualan dan analitik data menyokong kemajuan dalam kemampanan dan membolehkan organisasi membuat perubahan penting untuk menambah baik persekitaran.
Opp berkata dunia mengalami perubahan persekitaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dan pantas serta sekurang-kurangnya 70 juta orang telah menghadapi kemiskinan melampau ekoran pandemik COVID-19.

Beliau berkata UNDP telah melakukan transformasi digitalnya sendiri secara besar-besaran dengan perkongsian dengan syarikat-syarikat sektor swasta yang dapat menawarkan kepakaran.
“Kami mula menyaksikan beberapa manfaat, sama ada menggunakan ‘blockchain’ bagi mengesani pengeluaran coklat atau koko untuk pengguna, menggunakan kepintaran buatan atau menerusi pendanaan ramai dan ‘blockchain’ untuk mendanai pemasangan solar bagi tenaga boleh baharu, kami melihat potensi luar biasa teknologi digital ini untuk berkembang kukuh dan diguna pakai serta ia benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun antara kekangan besar yang disaksikan pihaknya di seluruh dunia adalah perlunya untuk merapatkan jurang digital.
Ketaksamaan yang disaksikan pada masa ini itu akan meningkat sekiranya tiada pihak yang mencari penyelesaian bagaimana cara untuk mencapai setiap orang, katanya.
“Jadi kita mesti menutup jurang digital dan kita perlu menggunakan pendekatan digital yang dapat merangkumkan seluruh penduduk dunia,” katanya.
Opp berkata model perkongsian awam-swasta berfungsi di pasaran namun tidak begitu diketahui dan kekurangan data.
Beliau berkata UNDP dibiayai secara awam, oleh yang demikian pihaknya berusaha memasuki ruang untuk melihat model perniagaan baharu dan bidang kerja yang dapat diteliti.
“Sebenarnya kami mempunyai seluruh bahagian organisasi yang melihat peluang pelaburan yang boleh direalisasikan dan menjadikan maklumat itu tersedia untuk pasaran.
“Ini kerana dalam beberapa kes, anda mungkin memerlukan sumber pendanaan awam seperti kerajaan atau Bank Dunia atau sumber seumpamanya untuk mengimbangi beberapa risiko apabila perniagaan menceburi bidang baharu yang kurang terbukti,” katanya.
Beliau berkata ia terutama apabila berkaitan dengan eksperimen teknologi dan menjajarkan kepentingan negara dengan kepentingan korporat.  — BERNAMA