KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai saksi tampil memberi keterangan pada prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga mangsa berkata saksi ke-65 itu merupakan pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, yang mengemukakan kronologi baharu berhubung insiden menimpa remaja berkenaan pada 16 Julai tahun lepas.
“Pada tahun lepas, saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan. Tahun ini, tiba-tiba muncul seorang saksi dengan cerita baharu dan kronologi berbeza sama sekali. Saksi kanak-kanak ini juga menyebut beberapa pelajar lain serta menceritakan apa yang berlaku pada malam kejadian kepada ibunya secara umum, dua tiga bulan selepas insiden,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Shahlan berkata saksi berkenaan tampil memberi keterangan selepas mendedahkan kejadian pada malam sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di asrama kepada ibunya. Menurut Shahlan, ibu saksi kemudian menghubungi seorang guru di sekolah tersebut sebelum saksi memberikan keterangan terperinci kepada polis tahun ini. Prosiding keterangan saksi itu belum selesai dan akan disambung esok.
Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang lagi kanak-kanak dalam kes buli melibatkan Zara Qairina berkata saksi dipercayai individu terakhir bersama mangsa sebelum insiden malang tersebut berlaku. Beliau berkata saksi mendedahkan bahawa dia ternampak Zara Qairina berjalan mundar-mandir berhampiran tandas asrama serta sempat menyapa dan berbual dengan mangsa selama kira-kira 10 minit sebelum membawa remaja itu kembali ke biliknya.
“Dia melihat Zara masuk ke bilik asrama, menutup pintu, kemudian kembali ke biliknya di Blok B. Saksi kemudiannya berjalan ke Blok A untuk ke bilik rakannya sekitar pukul 1 hingga 2 pagi, tetapi setelah mendapati rakannya tidur, saksi menutup pintu dan ternampak Zara di koridor tingkat tiga,” katanya ketika berkongsi keterangan saksi.
Peguam itu berkata ibu saksi juga dijangka memberi keterangan pada prosiding esok. Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur mangsa bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan.- BERNAMA



