DI sebalik kejayaan Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR) sebagai resort pelancongan berasaskan alam semula jadi dan teknologi moden, terdapat satu lagi aspek penting yang menyokong kelestariannya, iaitu usaha berterusan dalam bidang penternakan, pertanian mampan, dan penyelidikan akuakultur.
BEFR bukan sekadar lokasi percutian, malah berfungsi sebagai pusat ilmu dan penyelidikan yang aktif, terutamanya dalam pemeliharaan spesies ikan bernilai tinggi seperti empurau, serta penerapan sistem akuaponik dan fertigasi mesra alam.
Gabungan inovasi, pemeliharaan alam sekitar, dan kerjasama dengan institusi pendidikan menjadikan BEFR model ekopelancongan holistik.
Model ini menyatukan elemen pelancongan, pendidikan dan kelestarian sumber makanan.
Menurut Pegawai Ladang BEFR, Jenniker Winna Juntan, setakat ini, ikan empurau yang diternak belum dijual secara komersial, sebaliknya digunakan untuk tujuan penyelidikan pelajar universiti tempatan.
“Kebanyakan pelajar universiti datang ke sini untuk menjalankan penyelidikan.
Kami juga giat melaksanakan program Contract Farming kepada peladang atau penternak yang berminat,” katanya Suara Sarawak. Bagi empurau yang mempunyai harga tinggi, penjagaannya rumit dan pemakanannya berbeza daripada ikan lain.
Spesies ini sangat sensitif terhadap suhu dan kualiti air. Walaupun penjagaannya sukar, pulangannya tetap lumayan.
Potensinya sangat besar, khususnya untuk pasaran eksport ke negara lain seperti China dan Singapura kerana permintaan di sana sangat tinggi. Suhu air perlu berada di bawah 30 darjah Celsius dengan tahap pH antara 6.5 hingga 7
. Selain itu, jelasnya, kitaran keluar masuk air setiap masa menggunakan sistem tapisan (fi ltration), manakala air keluar turut melalui kaedah rawatan di zon pelepasan.
“Jika berlaku kematian ikan secara besar-besaran (25 peratus), kami akan membuat laporan dan memanggil pihak Jabatan Perikanan untuk pemeriksaan. Langkah utama adalah untuk menukar air di tangki tersebut kerana kemungkinan berlaku pencemaran,” katanya.
Secara keseluruhan, jelasnya, ternakan empurau di BEFR di Pusat Penetasan (Hatchery) kolam induk melibatkan lapan tangki konkrit yang mengandungi 481 ekor induk (broodstock).
Di kolam nurseri, terdapat enam tangki konkrit dengan 48,706 anak ikan (fi ngerling), 12 tangki larva, serta dua tangki untuk rawatan ikan.
Bagi sistem akuaponik pula, terdapat lapan tangki konkrit. Dua kolam pertama mengandungi 421 induk ikan, manakala kolam ketiga hingga kelapan menempatkan 14,000 anak ikan (fi ngerling).
Tambah Jenniker, kebanyakan anak empurau dijaga rapi dan dilepaskan ke sungai di kampung apabila mencapai tempoh sesuai.
Hal ini menunjukkan bahawa akuaponik turut menyumbang kepada pembiakan ikan dan hidupan sungai demi kelangsungan sumber makanan air tawar kepada pengguna, selain mengatasi isu kepupusan spesies terancam.
“Buat masa ini, ikan tersebut tidak dijual, sebaliknya, ikan dihantar ke Batang Ai dan Sibu untuk dibesarkan menjadi induk.
“Apabila sudah cukup matang, ikan-ikan tersebut akan dibawa pulang semula ke pusat pembiakan di sini. Ini sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoA) bersama Sarikei Aqua Product Co. yang ditandatangani pada 5 Mei lalu,” jelasnya.



