GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diarahkan memperketat prosedur operasi standard (SOP) susulan insiden belon berisi gas yang dirampas meletup sehingga mencederakan dua anggota penguat kuasa pada Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata beliau telah mengarahkan MBPP meneliti semula serta memperketat SOP penguat kuasa, khususnya dari aspek keselamatan, bagi menjamin keselamatan anggota terlibat.
“Saya telah mengarahkan MBPP meneliti semula serta memperketat SOP penguat kuasa, khususnya dari aspek keselamatan, bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
H’ng berkata beliau hari ini menziarahi anggota penguat kuasa MBPP yang mengalami kecederaan akibat insiden belon meletup semasa operasi penguatkuasaan terhadap penjaja haram dua hari lalu di Hospital Pulau Pinang.
Menurutnya, keadaan anggota penguat kuasa berkenaan kini stabil, namun masih perlu menerima rawatan dan pemantauan lanjut.
Semalam, MBPP mengesahkan dua anggota penguat kuasa cedera selepas belon berisi gas yang dirampas meletup sebelum mencetuskan kebakaran dalam kejadian pada 7.55 malam di hadapan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union, di sini.
Seorang daripada anggota penguat kuasa berkenaan melecur pada kedua-dua tangan dan muka serta dirawat di Hospital Pulau Pinang, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan. — BERNAMA



