Israk Mikraj merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam yang memperingati perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, sebelum Baginda diangkat ke Sidratul Muntaha.
Peristiwa ini bukan sahaja menunjukkan keagungan Rasulullah SAW, tetapi juga menjadi asas pensyariatan solat fardu lima waktu, yang menjadi tunjang utama kehidupan umat Islam serta lambang ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT.
Dengan memahami hikmah peristiwa ini, umat Islam diingatkan tentang pentingnya menunaikan solat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Justeru, bagi memperingati peristiwa bersejarah ini, Kelab Digital Warga Emas (DIRWARMAS), Kuching dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak telah menganjurkan program khas di Bilik Konferens 1, Pustaka Negeri Sarawak.
Program ini berjaya menarik perhatian ramai, terutamanya warga emas serta golongan dewasa yang ingin menambah ilmu dan memperkukuh iman.


Selain itu, inisiatif ini bukan sahaja memberikan ruang untuk pembelajaran ilmu dunia, tetapi turut mengukuhkan kefahaman ilmu ukhrawi, selari dengan tuntutan agama. Kehadiran peserta membuktikan bahawa pencarian ilmu tidak mengenal usia.
Menurut penceramah program, ustaz Ahmad Nizam Johari,50, program memperingati peristiwa Isral dan Mikraj bukan sahaja membolehkan peserta menambah ilmu agama, tetapi juga menekankan kepentingan integrasi ilmu dunia dan akhirat.
“Dalam program ini, kami menekankan kepentingan penggabungan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Sebagai umat Islam, menuntut ilmu bukan sahaja untuk golongan muda, malah golongan dewasa dan warga emas juga dituntut untuk terus belajar dan menambah pengetahuan.
“Kedua-dua ilmu ini adalah kewajipan bagi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Ilmu dunia membantu seseorang menguruskan kehidupan dengan lebih baik, manakala ilmu akhirat menuntun hati kepada ketaatan kepada Allah SWT,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Tambah beliau yang kini bertugas sebagai Imam 1 di Masjid Darul Nain, Kampung Lintang, Kuching, topik utama yang dibincangkan ialah peristiwa Israk dan Mikraj, yang sering kita dengar menjelang 27 Rejab.
“Peristiwa ini amat penting kerana ia menunjukkan perjalanan luar biasa Rasulullah SAW yang bertemu dengan Allah SWT dan menerima wahyu yang sangat berharga. Dalam perjalanan ini, Allah SWT telah mewajibkan solat sebagai rukun utama bagi umat Islam
“Solat bukan sekadar ibadah ritual, tetapi merupakan tiang agama yang menghubungkan setiap Muslim dengan Pencipta mereka. Sambutan terhadap majlis ini sangat menggalakkan,” kongsi belia lagi.
Di samping itu, ujarnya kehadiran majoriti peserta terdiri daripada warga emas, kakitangan dan jemaah masjid yang mengambil peluang untuk bersama-sama menghadiri majlis ilmu. Mereka hadir dengan niat ikhlas untuk menimba ilmu dan menyuburkan syiar Islam.
“Kehadiran mereka menunjukkan bahawa pencarian ilmu tidak mengenal usia, dan setiap individu yang hadir dianggap sebagai insan terpilih oleh Allah SWT untuk memakmurkan majlis ilmu serta memperkukuh keimanan.
“Peristiwa Israk dan Mikraj juga membawa pengajaran yang mendalam. Antara hikmah terbesar ialah Allah SWT memperlihatkan sebahagian daripada kebesaran-Nya. Secara logik akal manusia, perjalanan ini kelihatan mustahil dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, seterusnya ke Sidratul Muntaha hanya dalam satu malam.
“Namun, ia merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Perjalanan manusia biasa ke Mekah mengambil masa kira-kira 8 hingga 10 jam, tetapi Rasulullah SAW menempuh ribuan batu dalam satu malam, membuktikan kekuasaan Allah yang tiada batas,” katanya.

Selain itu, kata beliau peristiwa ini mengajar umat Islam tentang pentingnya solat dalam kehidupan seharian. Perintah solat lima waktu bukan sahaja sebagai ibadah ritual, tetapi juga sebagai medium mendekatkan diri dengan Allah, menenangkan hati dan memperkukuh disiplin dalam kehidupan
Dengan itu, Israk dan Mikraj menjadi peringatan bahawa setiap amalan manusia akan dipantau oleh Allah SWT, dan setiap usaha dalam menunaikan kewajipan agama pasti dinilai dengan adil.
Dalam pada itu, ustaz Nizam berkata program ini juga menekankan kepentingan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan penghayatan agama.
Melalui Kelab Digital Warga Emas, ujarnya peserta bukan sahaja belajar menggunakan teknologi digital, tetapi juga memanfaatkan ilmu itu untuk dakwah, pembelajaran agama, dan perkongsian ilmu dengan komuniti.
Pendekatan sebegini jelasnya membantu golongan warga emas kekal relevan dalam dunia moden sambil terus memupuk rohani mereka.
“Bagi saya sendiri, sebagai seorang Imam dan ahli kelab, kehadiran warga emas dalam majlis ilmu seperti ini memberikan inspirasi dan semangat. Ia menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk terus belajar, menyebarkan ilmu, dan mempertingkatkan kefahaman agama.
“Semangat sebegini perlu diteruskan agar setiap generasi, tua atau muda, sentiasa meneguhkan hubungan dengan Allah SWT dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau menyertai Kelab Digital Warga Emas ini sejak beberapa minggu yang lalu dengan tujuan mendalami ilmu digital dan teknologi maklumat (IT).

“Selain itu, saya berhasrat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan ahli-ahli kelab yang lain. Kelab ini menyediakan platform holistik yang membolehkan ahli bukan sahaja menguasai teknologi moden, tetapi juga membincangkan isu-isu berkaitan agama, menjadikannya medium yang sesuai untuk pembangunan minda dan rohani.
“Dengan pelibatan dalam kelab ini, saya dapat melihat bagaimana program seumpama ini menghubungkan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Peserta bukan sahaja mempelajari kemahiran teknologi digital, tetapi juga dapat memanfaatkannya untuk tujuan dakwah, pembelajaran agama, dan perkongsian ilmu dalam komuniti,” katanya.
Pendekatan sebegini jelasnya, menggalakkan warga emas untuk kekal relevan dalam dunia moden sambil terus memperkukuh rohani dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.



