SEREMBAN: Pelanjutan pemberian Internet berkelajuan tinggi 1GB percuma sehingga 31 Dis ini pastinya terus memberikan kelegaan kepada sesetengah golongan yang bergantung pada kemudahan itu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khususnya pelajar dan peniaga dalam talian.
Bagi Siti Sarah Zulkarnain, 26, pelajar jurusan Perancangan Bandar di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor, dia memanfaatkan kemudahan tersebut dengan mentelaah pelajaran dan menghadiri pembelajaran secara maya.
“Bantuan data Internet ini pada saya sangat meringankan beban pelajar terutama kepada yang kurang berkemampuan. Apatah lagi saya memerlukan sekurang-kurangnya tiga jam untuk menghadiri kelas dalam talian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) pada Jumaat lepas berkata kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi menyediakan kemudahan Internet berkapasiti 1GB secara percuma kepada semua pengguna dari 8 pagi hingga 6 petang.
Usaha itu mendapat sokongan syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM).
Sebelum ini, Muhyiddin ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lepas berkata syarikat telekomunikasi dan multimedia menawarkan beberapa pakej khas termasuk Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April sehingga tempoh pelaksanaan PKP tamat.
Bantuan Internet percuma itu bukan sahaja membantu golongan pelajar, tetapi semua peringkat golongan termasuk peniaga kecil yang menjalankan perniagaan dalam talian.
Amira Syazwani Abdul Rahman, 31, yang mengusahakan perniagaan pakaian dalam talian, berkata bantuan Internet percuma itu dimanfaatkannya dengan memuat naik video produk menerusi semua platform media sosial termasuk Facebook.
“Memang tidak dinafikan perniagaan dalam talian ini menggunakan banyak data Internet kerana saya sentiasa kemas kini produk terbaharu melalui rakaman video atau live video bagi berinteraksi dengan pelanggan,” katanya yang memperuntukkan sehingga satu jam untuk video langsung ketika berinteraksi dengan pelanggan.
Menurutnya sepanjang PKP, jualannya mendapat sambutan menggalakkan, justeru pelanjutan Internet percuma tersebut amat dialu-alukan kerana dapat mengurangkan kos operasi perniagaannya.
Bagi pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta, Mohd Luqman Hakim, 27, pula Internet percuma itu dimanfaatkannya dengan melaksanakan kerja dari rumah termasuk menghadiri mesyuarat secara maya.
“Memang tidak dinafikan selepas ini ramai yang akan kembali bekerja di pejabat, namun masih ada yang akan terus bekerja dari rumah, justeru pelanjutan pemberian data Internet percuma amat dialu-alukan oleh mereka,” katanya.



