SARATOK: IPD Saratok memperhebat strategi keselamatan menjelang 2026 dengan fokus penguatkuasaan menyeluruh berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah komersial, terutama penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, usaha menurunkan kadar jenayah menjadi keutamaan bagi memastikan Saratok kekal sebagai daerah selamat dan sejahtera.
“Pendekatan penguatkuasaan secara menyeluruh berkaitan dadah serta tindakan agresif bagi memerangi jenayah komersial perlu dijalankan secara berterusan hingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin keselamatan masyarakat, mengekang aktiviti jenayah sejak peringkat awal dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap pihak polis terus kukuh,” katanya.
Beliau menyampaikan amanat tersebut semasa Perhimpunan Bulanan November 2025 yang dihadiri sembilan pegawai kanan serta 73 anggota dan pegawai awam IPD Saratok dan berlangsung di Padang Kawad IPD Saratok, semalam.
Mathew turut menyeru anggota supaya mengekalkan keharmonian dan kerjasama dalam pasukan bagi mencapai visi dan misi PDRM.
“Pendekatan proaktif dalam mendekati masyarakat dianggap penting bagi memudahkan komunikasi dan meningkatkan keberkesanan tindakan keselamatan.
“Kehadiran anggota di lapangan perlu sentiasa dirasai masyarakat, bukan sekadar simbolik, untuk mengekalkan kestabilan dan ketenteraman di daerah ini,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam yang menunjukkan kecemerlangan tugas.
Penghargaan juga diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Saratok, manakala Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dianugerahkan kepada waris anggota yang pernah berkhidmat cemerlang.







