ARTIKEL

IPU Lebih 200, Enam Sekolah Di Tebedu Ditutup Sementara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Enam sekolah di kawasan Tebedu di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, ditutup sementara hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 susulan jerebu yang melanda kawasan berkenaan.

Setakat 10.30 pagi tadi, penutupan tersebut melibatkan 579 murid dan 104 kakitangan dengan SK Temong merekodkan jumlah murid paling ramai terjejas iaitu 205 orang, diikuti SK Sungai Sameran (129 murid), SK Tema (85 murid), SK Entubuh (67 murid), SK Sejijag (51 murid) dan SK Tepoi (42 murid).

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) berkata, penutupan itu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah.

“Pengetua dan guru besar mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan menutup sekolah serta-merta apabila bacaan IPU di kawasan masing-masing melebihi 200 tanpa perlu menunggu arahan daripada PPD atau JPNS.

“Pihak sekolah bagaimanapun perlu memaklumkan tindakan tersebut kepada PPD dan JPN dengan kadar segera bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan rekod,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas JPNS, langkah itu selaras dengan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai langkah-langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di kawasan berjerebu yang dianggap kritikal, semua sekolah dalam kawasan atau daerah yang mencatatkan IPU melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta.

“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan tindakan perlindungan terhadap murid dan warga sekolah dapat dilaksanakan dengan pantas tanpa sebarang kelewatan apabila keadaan mencapai tahap kritikal.

“Langkah ini penting kerana keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidikan akan terus menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi jerebu di negeri ini,” katanya.

Namun, JPNS menegaskan, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian akan diteruskan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas sepanjang tempoh penutupan sekolah.

JPNS turut menegaskan pihaknya bersama PPD Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat terkini daripada agensi berkaitan.

“Sebarang keputusan pembukaan semula sekolah akan dibuat berdasarkan perkembangan semasa bacaan IPU serta garis panduan dan arahan yang berkuat kuasa.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU