ARTIKEL

IQBAAL membawa watak sebagai ljal.

IQBAAL tampil selekeh demi watak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TRANSFORMASI fizikal Iqbaal Ramadhan untuk menjayakan watak penyeluk saku dalam filem terbaharu, “Operasi Pesta Copet”, bukan calang-calang apabila pelakon itu sanggup berjemur sehingga dua jam setiap hari selama dua bulan.

Filem drama komedi terbitan Imajinari itu memperlihatkan Iqbaal membawakan watak Ijal, seorang penyeluk saku yang tinggal di kawasan pinggir landasan kereta api.

Bersama-sama Kristo Immanuel, Zulfa Maharani dan Kawai Labiba, mereka membentuk sekumpulan penyeluk saku amatur yang nekad menjalankan operasi di Pestapora, sebuah festival muzik di Indonesia.

Menerusi poster rasmi yang baru dilancarkan, keempat-empat watak itu ditampilkan dengan penampilan selekeh ketika berada di markas lusuh di dalam bas terbiar, selain memperlihatkan rancangan mereka untuk menyeluk saku dengan sasaran mencecah Rp600 juta.

Screenshot

Bagi memastikan wataknya kelihatan lebih menyakinkan, Iqbaal melakukan perubahan fizikal yang ketara, termasuk menurunkan berat badan, menggelapkan warna kulit serta memanjangkan misai.

“Selama dua bulan, saya perlu berjemur setiap hari selama dua jam untuk mendapatkan transformasi fizikal watak Ijal.

“Saya juga memanjangkan misai sehingga kelihatan seperti misai ikan keli,” katanya seperti dipetik dalam laporan media antarabangsa.

Screenshot

Bukan sekadar mengubah penampilan, Iqbaal turut menjalani latihan teknik menyeluk saku bersama-sama pelakon lain selama hampir dua bulan.

Latihan itu dibimbing oleh pakar silap mata profesional bagi memastikan pergerakan tangan mereka kelihatan pantas dan meyakinkan di hadapan kamera.

Malah, Iqbaal turut mendalami wataknya menerusi media sosial apabila menghasilkan akaun TikTok khas menggunakan nama Ijal bagi membina personaliti watak berkenaan di luar set penggambaran.

Menurut penerbit, Ernest Prakasa, Operasi Pesta Copet bukan sekadar menawarkan hiburan, malah memberi gambaran tentang cara kumpulan penyeluk saku beroperasi supaya penonton lebih berwaspada.

“Penyeluk saku bukan melakukan jenayah secara spontan. Mereka mempunyai cara kerja yang sistematik.

“Filem ini membongkar cara mereka beroperasi dan apabila kita mengetahui cara mereka bekerja, kita lebih mudah mengelakkannya,” katanya.

Screenshot

Filem arahan Edy Khemod itu turut mengangkat suasana festival muzik daripada perspektif berbeza, selain menyentuh pelbagai isu sosial di Indonesia.

Menurut Edy, tarikan filem itu terletak pada pendekatannya terhadap scenario muzik Indonesia yang bukan sekadar dilihat dari sudut konvensional, malah turut mengetengahkan perspektif sosiologi.

Operasi Pesta Copet diterbitkan oleh Imajinari dengan kerjasama Angin Segar dan Boss Creator, manakala barisan penerbitnya terdiri daripada Ernest Prakasa, Dipa Andika, James Erlangga dan Iqbaal Ramadhan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU