ARTIKEL

PERANGI EKSTEMIS... Ayob Khan ketika ditemui pemberita selepas Forum Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara di Hikmah Exchange, hari ini.

ISA antara mekanisme berkesan tangani ancaman keselamatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berpandangan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan mekanisme paling berkesan untuk menangani ancaman keselamatan termasuk penyebaran fahaman ekstremis, ajaran sesat, isu perkauman dan sentimen 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Jelasnya, berdasarkan pengalaman penguatkuasaan sebelum ini, ISA membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal tanpa perlu menunggu ancaman berkenaan berkembang sehingga menjejaskan keselamatan negara.

TANDA KENANGAN… Ayob Khan menerima cenderahati selepas Forum Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara di Hikmah Exchange, hari ini.

“Ini bukan cadangan saya, tetapi pandangan berdasarkan pengalaman yang kita ada. ISA ialah satu undang-undang yang amat berkesan untuk menangani isu keselamatan, perkauman, agama dan ajaran sesat.

“Sebab itu saya katakan pendekatan ISA adalah yang paling berkesan dalam menangani isu-isu seperti ini,” katanya ketika mengulas berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Forum Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara yang bertajuk “Keharmonian Akidah dan Pemeliharaan Syariat. Peranan Penguatkuasaan Undang-undang Dalam Melindungi Agama di Malaysia sempena di Satok Ballroom, Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai istilah “Salafi Jihadi”, Ayob Khan berkata, istilah itu bukan dicipta oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya digunakan dalam fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama bagi merujuk kepada fahaman yang menjadi asas kepada kumpulan militan seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

Menurutnya, ideologi berkenaan menolak sistem demokrasi dan Perlembagaan negara, selain mentafsir ajaran agama secara sempit sehingga menganggap kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi sebagai tidak sah.

“Mereka juga menolak fatwa yang dikeluarkan jabatan mufti negeri dan pihak berkuasa agama. Malah, ada yang menganggap darah pihak tertentu halal serta boleh dibunuh kerana terlibat dalam sistem demokrasi.

“Itulah antara ciri utama ideologi berkenaan yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, jabatan dan agensi agama perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memberi penerangan kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihak polis terus memantau pergerakan kumpulan berfahaman ekstremis yang kini didapati lebih banyak menggunakan platform media sosial, blog dan medium dalam talian untuk merekrut pengikut baharu.

“Kaedah mereka kini bukan lagi melalui pertemuan secara fizikal, sebaliknya menggunakan media sosial dan platform digital.

“Pemantauan dilakukan secara berterusan dan sekiranya kita mempunyai bukti serta maklumat yang mencukupi, tindakan pencegahan awal akan diambil,” katanya.

Kata beliau, pemantauan itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan.

Ayob Khan turut menjelaskan bahawa selepas pemansuhan ISA, tindakan terhadap individu yang terlibat dengan ajaran sesat menjadi lebih mencabar kerana pihak berkuasa tidak lagi mempunyai kuasa untuk mewajibkan mereka mengikuti program pemulihan.

“Jika mereka datang mengikuti program pemulihan, kita alu-alukan. Tetapi jika mereka enggan, tiada undang-undang yang boleh memaksa mereka berbuat demikian.

“Dulu di bawah ISA, kita tidak perlu menunggu tindakan jabatan agama. Mana-mana individu atau kumpulan yang membawa ajaran sesat sehingga mengancam keselamatan negara, perpaduan kaum atau bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh ditahan dan menjalani program pemulihan, termasuk di Kamunting,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Kira-kira 16 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, malam semalam. Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat