KUCHING: Program International Sarawak Bridge and Mapping Challenge 2026 (ISBMC’26) terus berkembang daripada pertandingan kejuruteraan kepada platform yang menghimpunkan idea, bakat dan kreativiti generasi muda.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, program itu bermula sebagai Bridge Model Challenge di Politeknik Kuching Sarawak pada 2012 sebelum berkembang ke peringkat Sarawak pada 2023 dan 2024.

Menurutnya, ISBMC’26 kini mencapai satu lagi detik penting apabila diperluas ke peringkat antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi MEITD, Sharifah Fariah Syed Junaidi, pada majlis penutupan program berkenaan di Politeknik Kuching, hari ini.
Katanya, program itu bukan sekadar pertandingan kejuruteraan, sebaliknya berkembang menjadi ekosistem pembelajaran yang membentuk pelajar berfikiran kritis, mampu berkomunikasi, bekerjasama, menggunakan teknologi dan menyelesaikan masalah secara kreatif.
Beliau berkata, usaha berkenaan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, khususnya dalam memperkukuh pendidikan STEM, memperluas penyertaan dalam TVET dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan lebih 60 peratus enrolmen STEM di peringkat menengah atas, lebih 20 peratus lepasan SPM mengikuti program TVET serta kadar kebolehpasaran sebenar melebihi 80 peratus bagi graduan institusi pengajian tinggi dan TVET.




