KUCHING: Kekosongan jawatan pengurusan tertinggi di peringkat sekolah perlu diisi dengan segera, diikuti sekolah yang masih lagi tiada pengetua dan guru besar di daerah Mukah dan Dalat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, daerah Mukah mempunyai dua kekosongan pengetua iaitu di SMK St. Patrick dan SMK Mukah.
Selain itu, katanya terdapat lima kekosongan guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penipah, SK Kuala Balingian, SK Penakub Ulu, SK Sungai Duan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua.
Manakala di daerah Dalat, Royston memberitahu terdapat satu kekosongan pengetua iaitu di SMK Batang Igan dan lima kekosongan guru besar di SK Sungai Rasau, SK Kampung Bungan, SK St Luke, SK Kampung Tanam dan SJKC San San.
“Masalah ini memberi impak buruk kepada murid dan pelajar terutamanya dari segi rekod kehadiran ke sekolah dengan Sarawak mencatat peratusan kehadiran ke sekolah yang menurun terutamanya selepas pandemik Covid-19 melanda,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Di-pertua Negeri sempena persidangan DUN, hari ini.
Sementara mengenai sekolah daif, Royston mendedahkan lapan daripada 29 buah sekolah rendah tergolong sebagai sekolah daif, manakala dua daripada empat sekolah menengah adalah daif.
“Dalam pada itu, berlaku masalah kelas terlalu padat dengan 40 sehingga 50 orang pelajar dalam satu kelas berlaku di SMK Mukah dan SMK Three Rivers,” katanya.





