MASALAH buli kerap berlaku kebelakangan ini, terutama melibatkan pelajar yang tinggal di asrama sekolah, tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.
Bahkan, ia turut melibatkan pelajar di kolej dan universiti. Buli boleh mengakibatkan tekanan emosi, kecederaan fi zikal, dan yang paling malang, boleh membawa kepada kematian.
Dalam Islam, perbuatan zalim terhadap makhluk hidup amat ditegah dan dilarang, apatah lagi terhadap tubuh badan manusia yang melibatkan nyawa.
Perkara penting yang perlu difahami oleh kita semua ialah Islam merupakan agama yang benar-benar menjaga dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan).
Bersesuaian dengan kalam Allah SWT dalam al-Quran:“Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”
(Surah al-Isra’, ayat 70) Dalam ayat yang lain, Allah SWT turut menegaskan bahawa setiap dosa yang dilakukan tidak akan terlepas daripada catatan para malaikat.
Sama ada dosa kecil mahupun besar, semuanya akan dibalas oleh Allah SWT.
Oleh itu, sewajarnya kita menjauhi segala perkara yang mendatangkan dosa dan menghindari segala bentuk kezaliman. Firman Allah SWT: “Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka engkau akan melihat golongan yang berdosa berasa takut terhadap apa yang terkandung di dalamnya.
Dan mereka berkata: ‘Alangkah celakanya kami ini! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan dosa kecil dan dosa besar, melainkan semuanya tercatat?’ Mereka mendapati apa-apa yang telah mereka kerjakan dahulu (tercatat).
Dan Tuhanmu tidak menzalimi seseorang pun.” (Surah al-Kahf, ayat 49)
MUFLIS DI AKHIRAT AKIBAT KEZALIMAN
Membuli jelas merupakan perbuatan yang haram dan mendatangkan dosa kepada pelakunya. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan pelaku menjadi mufl is di akhirat kelak, walaupun dia melaksanakan ibadah.
Akhirnya, dia tetap mufl is disebabkan kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain.
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang mufl is dalam kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa solat, puasa, dan zakat.
Namun, dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, dan memukul orang ini.
Maka diberikan kepada orang tersebut kebaikannya.
“Sekiranya kebaikannya habis sebelum selesai perhitungan terhadapnya, maka diambil pula kejahatan mereka dan dicampakkan ke atasnya, lalu dia dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim) Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini: “Sangat benarlah sabda Nabi SAW, kerana sesungguhnya inilah sebenar-benar orang yang mufl is. Jika pun seseorang mufl is di dunia, maka dunia itu datang dan pergi.
Boleh jadi seseorang itu asalnya fakir, lalu berubah menjadi kaya, atau sebaliknya.
Akan tetapi, sebenar-benar mufl is ialah apabila seseorang itu kehilangan segala kebaikan yang dia kerjakan dengan bersusah payah.
Di hadapannya terbentang hari kiamat, apabila amal kebaikannya menjadi saksi.
Namun, kebaikan tersebut diambil oleh si fulan dan si fulan. Imam al-Nawawi turut menegaskan bahawa hadis ini merupakan peringatan keras terhadap perbuatan melakukan kejahatan terhadap makhluk.
(Rujuk: Riyadh al-Solihin) Dalam surah yang lain, Allah SWT berfi rman: “Pada hari ini Kami kunci mulut mereka, dan tangan mereka berbicara kepada Kami, manakala kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang mereka kerjakan dahulu.” (Surah Yasin, ayat 65)



