KUCHING: Isteri kepada mangsa banjir di Rasuwa, Hani Othman, terus memohon doa rakyat Malaysia bagi mengiringi operasi mencari dan menyelamat suaminya yang dijalankan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Nepal.
Beliau yang kini memasuki hari ke-13 di negara tersebut memaklumkan bahawa perkembangan terbaharu daripada Wisma Putra masih belum diterima selain belum dapat memastikan tarikh kepulangannya ke tanah air kerana perlu menyelesaikan beberapa urusan.
Bagi membantu proses pengecaman oleh pihak berkuasa sekiranya diperlukan, abang kepada Pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, dilaporkan telah menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di Malaysia.
Mohd Fakhrul Munir bersama lapan lagi rakyat Malaysia, termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul serta seorang warga tempatan, dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda mereka terjejas banjir semasa ekspedisi ke Everest Base Camp pada 26 Ogos lepas.
Sementara itu, sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dihubungi berikutan bencana banjir di Nepal yang setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,350 nyawa dan menyebabkan hampir 5,000 individu masih hilang seperti dilapor Bernama.



