BINTULU: Pendekatan libat urus komuniti melibatkan pelbagai agensi perlu diperkukuh bagi menangani isu penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan di daerah ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, usaha membanteras dadah tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasaan, kesihatan serta komuniti setempat bagi memastikan keberkesanan penyampaian maklumat dan pencegahan.
Beliau berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran awal kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah berkaitan bahaya dadah dan merokok.
“Bagaimanapun, penerangan daripada AADK sahaja mungkin tidak mencukupi. Pelibatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat diperlukan bagi menjelaskan dengan lebih terperinci kesan penyalahgunaan dadah ke atas kesihatan fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Kampung Nour Iman, Kuala Tatau sempena Program MOTAC Bersama Komuniti @Bintulu, hari ini.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, termasuk pendakwaan oleh Polis Diraja Malaysia.
“Saya menggesa mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah supaya segera berhenti dan tidak menunggu sehingga ditangkap,” katanya.


