Isu jurulatih Sarawak: Tempatan atau import?

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) dikatakan sudah mempunyai calon jurulatih untuk mengemudi pasukan Sarawak 2020. Hanya menunggu masa sesuai untuk membuat pengumuman.

Seperti yang kita sedia maklum, mereka sudah pun mengumumkan jurulatih pasukan Piala Presiden 2020, iaitu Ahmad Fairuz Yunus, bekas pemain pertahanan Sarawak yang bertugas sebagai jurulatih bertauliah di Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Manakala calon jurulatih pasukan belia akan diumumkan dalam masa terdekat ini. Yang pasti, para peminat kini menunggu siapakah calon jurulatih pasukan senior? Sehingga kini belum ada gambaran tentang calon tersebut, hanya FAS yang tahu. Ada tiga kemungkinan calon tersebut.

Pertama, anak tempatan Sarawak. Kedua, import dari Semenanjung dan ketiga, import asing. Jika anak tempatan, hanya seorang calon yang paling sesuai sekarang ini, iaitu Jalil Ramli, pemegang Lesen Super A. Pelantikan Jalil adalah wajar. Lagi pula dia telah pun ditawarkan jawatan tersebut musim lalu, namun menolak dengan alasan mahu membimbing pasukan Piala Presiden.

Selain Jalil, agak sukar untuk kita membuat kesimpulan kerana kebanyakannya telah pun diberi peluang sebelum ini. Antaranya ialah David Usop, Pengiran Bala, Farhan Abdullah, Wahet Uji dan Mohamad Mantali. Manakala dua lagi jurulatih mempunyai Lesen A yang belum pernah membimbing pasukan senior ialah Safri Amit dan Hazry Abdullah.

Sementara itu, lebih sukar bagi kita untuk meramal jika calon tersebut adalah dari Semenanjung. Antara jurulatih ternama yang tidak mempunyai pasukan sekarang ini ialah bekas jurulatih popular Kedah, Azrai Khor Abdullah, bekas jurulatih Terengganu, Ifran Bakti dan bekas jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris.

Selain itu, nama-nama besar seperti Tan Cheng Hoe (jurulatih Malaysia) dan bekas pemain Sarawak, Ong Kim Swee mungkin berada dalam pertimbangan FAS, apatah lagi Presiden FAS, Datuk Posa Majais sekarang ini merupakan pengurus pasukan Harimau Malaya.

Namun pengambilan mereka pastinya memerlukan kos yang tinggi, sedangkan FAS mahu berjimat cermat. Lagi pula FAS tentunya masih ingat, bagaimana pasukan Sarawak gagal ketika di bawah kendalian bekas jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagopal suatu ketika dahulu. Begitu juga dengan calon dari luar negara, tentunya memerlukan sejumlah wang yang besar.

Tambahan pula, kita tidak tahu keupayaan mereka, kecuali mereka yang pernah membimbing pasukan dalam Liga Malaysia sebelum ini. Misalnya, pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Oleh itu, adalah wajar FAS memberi peluang kepada jurulatih tempatan sedia ada, sesuai dengan bajet pihak pengurusan.

Suara Sarawak