KUCHING: Isu kemiskinan bandar di Sarawak ditangani secara holistik apabila kerajaan negeri menggerakkan kerjasama rentas agensi bagi memastikan setiap keluarga yang terjejas menerima perlindungan dan sokongan sewajarnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia melibatkan pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan.

“Inisiatif ini diambil bagi menangani salah faham dan maklumat tidak tepat yang sering timbul dalam isu kebajikan masyarakat,” ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke TTG Kuching yang terletak di Jalan P. Ramlee malam tadi.
Tambah Fatimah, antara kes yang diberi perhatian ialah penempatan semula keluarga yang mendiami pondok usang dalam keadaan uzur dan daif di Sungai Maung ke Flat Dahlia selepas kediaman asal mereka dikenal pasti tidak selamat serta tidak kondusif untuk anak-anak.
Katanya, melalui bantuan pusat khidmat wakil rakyat ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, keluarga tersebut menerima bantuan deposit, sambungan air dan elektrik serta bayaran sewa selama enam bulan.
“Dalam kes berkenaan, pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ADUN Tupong serta pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) atas kerjasama yang diberikan.
“Secara kebetulan, terdapat sebuah unit kosong di Flat Dahlia yang kemudiannya ditawarkan kepada keluarga tersebut.
Bagaimanapun, keluarga berkenaan perlu menguruskan sendiri penyambungan bekalan elektrik dan air, selain menjelaskan bayaran deposit serta sewa.
“Melalui pusat khidmatnya, Fazzrudin menghulurkan bantuan dengan menanggung bayaran deposit sewa rumah, kos penyambungan bekalan elektrik dan air, serta bayaran sewa selama enam bulan, bermula Januari hingga Jun, pada kadar RM150 sebulan.
“Bermula Julai, keluarga berkenaan akan meneruskan bayaran sewa secara kendiri,” ujarnya.
Katanya lagi, penekanan turut diberikan kepada keselamatan dan pendidikan kanak-kanak di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak.
Menurut beliau, kanak-kanak yang berada dalam umur persekolahan diwajibkan bersekolah bagi memutuskan kitaran kemiskinan.
“Bagi gelandangan warga emas yang uzur dan tidak mempunyai waris, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan untuk penjagaan berterusan, tertakluk kepada syarat termasuk bebas daripada penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Untuk rekod, Seramai 127 gelandangan disantuni melalui pelbagai inisiatif kebajikan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.



