KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendesak Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk campur tangan menangani kemelut melibatkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias dan badan payung persatuan sukan kebangsaan itu.
Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata kenyataan dikeluarkan Suhardi pada 19 Nov lepas sebagai di luar bidang kuasa beliau, khususnya apabila menyentuh prestasi dan pencapaian atlet di bawah naungan persatuan sukan kebangsaan.
“Suhardi bukan sahaja enggan memohon maaf atas kata-kata beliau yang menyamakan MOM dengan Kerajaan Israel tetapi juga menyentuh pencapaian dan prestasi atlet di bawah naungan kami.
“… sedangkan bidang kuasa PJS terhad kepada perundangan berkaitan pendaftaran dan pembatalan atau penggantungan badan sukan yang berdaftar di bawah Akta 576,” menurut Mohd Nazifuddin menerusi kenyataan dikeluarkan MOM hari ini.
Mohd Nazifuddin berkata pihaknya menghormati Suhardi sebagai PJS yang bidang kuasanya luas mengikut Akta 576, namun menyifatkan akta digubal di Parlimen bukan milik individu yang boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya, apatah lagi MOM yang memayungi 58 persatuan sukan kebangsaan.
“Kedegilan Suhardi memberi isyarat bahawa beliau sudah memukul gendang perang dengan MOM dan ahli gabungan kami.
“Andai Suhardi berterusan, MOM berpegang kepada Piagam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menuntut mana-mana Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) mempertahankan kuasa autonomi dan melawan sebarang bentuk tekanan, yang tidak terbatas kepada tekanan politik, perundangan, agama dan ekonomi,” katanya.
Sebelum ini, tular menerusi aplikasi WhatsApp klip audio berdurasi satu minit 20 saat memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.
Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika perjumpaan antara Suhardi dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran dan keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan berkenaan pada 14 Nov lepas.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kemudian mengeluarkan kenyataan menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar memandangkan kenyataan dibuatnya disifatkan melampaui batas.
Suhardi dikatakan akan mengambil tindakan laporan polis terhadap individu yang menyebarkan rakaman audio tanpa izin sehingga menimbulkan fitnah kepada pihaknya.
Sementara itu, Suhardi yang ditemui pemberita selepas program Simposium Kesedaran Perusahaan Sosial Sukan Kebangsaan 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak MOM bagi meleraikan kemelut melanda dirinya itu.
“Kita akan meredakan keadaan, memberikan satu waktu bertenang kepada semua pihak dan seterusnya membincangkan mengenai perkara ini dengan MOM selain mengurangkan semua tekanan yang timbul hasil daripada penyebaran klip audio secara salah ini,” katanya.
Beliau pada masa sama memohon semua pihak mengambil iktibar terhadap kejadian itu selain memaklumkan penyebaran klip audio itu adalah tertakluk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.– BERNAMA