Isu tanah dengan tauke besar, penduduk Kampung Tambirat minta SPRM siasat JTS dan polis

KUCHING: Krisis tanah di Kampung Tambirat, Asajaya antara penduduk perkampungan Melayu terbabit dengan tauke-tauke besar kebanyakannya dari Sibu, yang berlaku sejak 33 tahun lalu kini berulang walaupun sudah diselesaikan di mahkamah.

Salah seorang pemilik tanah terbabit selaku jurucakap penduduk, Ahmad Awang Ali berkata mereka sudah memenangi empat kes tuntutan pemilikan ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 408 ekar itu di mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya syarikat Tong Tai Sdn Bhd yang dimiliki seramai 20 orang tauke besar terbabit kini datang menceroboh semula tanah berkenaan, dengan memusnahkan tanaman termasuk kelapa sawit penduduk.

Ekoran tindakan syarikat terbabit, pemilik-pemilik tanah berkenaan telah tampil membuat hampir 10 laporan polis di Balai Polis Asajaya dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Samarahan sejak beberapa minggu lepas namun sehingga hari ini, tiada tindakan diambil.

Sebaliknya, mereka digertak oleh pekerja syarikat tersebut supaya tidak mengganggu atau menentang tauke mereka.

Malah, syarikat itu terus berani melakukan kerja pembersihan di tanah berkenaan kerana mendakwa mendapat kebenaran daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan juga pihak keselamatan.

“Mereka (syarikat Tong Tai) menuntut tanah ini kerana memiliki surat hak milik sedangkan mereka sudah empat kali kalah di mahkamah.

“Ini bermakna, surat hak milik tanah mereka itu sudah tamat tempoh atau tidak sah lagi,” katanya ketika ditemu-bual selepas membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad yang juga Pengerusi NCR Right Defender for Samarahan, tujuannya bersama dua lagi pemilik tanah membuat laporan kepada SPRM adalah supaya menyiasat sekiranya ada unsur rasuah di peringkat JTS dan pihak keselamatan yang terlibat.

Suara Sarawak