PADAWAN: Penantian dua tahun pengusaha 12 unit kedai berhampiran Lien Huat Cafe, Batu 10 yang berdepan masalah tekanan air rendah akhirnya berakhir selepas kerja penggantian paip berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, penyelesaian itu memberi kelegaan serta kegembiraan kepada pemilik kedai dan penduduk setempat selepas sekian lama berdepan gangguan bekalan.

“Premis perniagaan ini tidak mempunyai bekalan air yang sempurna selama dua tahun lepas berikutan sistem paip lama yang telah usang dan terjejas dari semasa ke semasa hingga menyebabkan tekanan air menjadi terlalu rendah.
“Langkah yang dilaksanakan oleh Sarawak Water Sdn Bhd adalah menggantikan paip utama dua inci kepada paip utama enam inci dan disambungkan kepada sumber air yang mempunyai bekalan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tahap tekanan air di Lien Huat Cafe, di sini, hari ini.
Menurutnya, penggantian paip itu bukan sahaja penting untuk memastikan bekalan air kepada deretan kedai kembali pulih, malah turut memberi kesan kepada keberkesanan fungsi pili bomba di kawasan berkenaan.
“Tekanan air yang rendah sebelum ini menyebabkan aliran air di pili bomba tidak cukup kuat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lo berkata kawasan Batu 10 mempunyai hampir 300 unit rumah kedai yang menerima bekalan air, namun hanya deretan 12 unit kedai tersebut berdepan masalah tekanan air rendah secara berpanjangan.

Sehubungan itu, beliau berharap isu tersebut menjadi perhatian syarikat utiliti agar segera menangani masalah berkaitan kemudahan asas seperti air, elektrik dan telekomunikasi.
“Masalah air, elektrik dan telekomunikasi memberi kesan langsung kepada rakyat kerana jika perkhidmatan asas seperti ini tidak dijaga dengan baik, ia akan menjejaskan kesejahteraan mereka.
“Justeru, saya turut berterima kasih kepada pemimpin masyarakat, ahli majlis, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu 10 dan penduduk yang sentiasa bekerjasama serta terus bersabar sepanjang tempoh ini.
“Saya bersyukur masalah ini dapat diselesaikan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan saya berharap Sarawak Water terus melaksanakan tugas dengan lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Lo turut memaklumkan bahawa isu tekanan air rendah di kawasan lain termasuk Kampung Bunga Rampai dan RPR Landeh akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Kawasan Kampung Bunga Rampai yang terletak di kawasan berbukit turut berdepan masalah tekanan air rendah sejak hampir dua tahun lalu, khususnya pada waktu siang namun bekalan air masih boleh diakses pada waktu malam.
“Sarawak Water sebelum ini memaklumkan bahawa tangki aras tinggi akan dibina bagi menangani masalah itu,” tambahnya.




