Iswardy dedah punca masalah dalaman PKR Sarawak

KUCHING: Pro Reformis 98 Sarawak mendakwa masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah berpunca daripada keengganan sesetengah pimpinan tertinggi parti di Sarawak dan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mematuhi perlembagaan dan fasal-fasal yang telah digariskan dalam menentukan perjalanan parti berjalan lancar.

Pengerusinya, Iswardy Morni berkata ia jelas apabila kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin tertinggi parti ke Sarawak baru-baru ini disambut amat dingin oleh pemimpin Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak.

Katanya ia menunjukkan seolah-olah kehadiran mereka berdua tidak dihormati pimpinan negeri dengan sewajarnya.

“Adakah wajar pimpinan parti negeri berbuat demikian sedangkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat parti dan Presiden KEADILAN merupakan tonggak kekuatan parti termasuk di Sarawak?” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, Iswardy berkata pihaknya juga amat kesal dan kecewa terhadap sikap acuh tidak acuh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sesetengah pimpinan Biro Politik dan MPP yang tidak hadir mesyuarat rasmi parti.

Beliau berpendapat, sekiranya Azmin dan pimpinan tertinggi parti tidak hadir pada mesyuarat yang terlebih dahulu dimaklumkan dan tidak berminat untuk hadir tanpa sebab munasabah sejak lapan bulan lalu, beliau dan sesetengah pimpinan parti seharusnya meletakkan jawatan secara terhormat.

Tambahnya Azmin juga telah melampaui bidang kuasanya sebagai Timbalan Presiden parti dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang menyanggah keputusan Pakatan Harapan (PH) sedangkan isu peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar telah dimuktamadkan secara konsensus oleh keempat-empat parti komponen PH pada 7 Januari 2018.

“Ini menimbulkan keresahan yang teramat sangat di kalangan pemimpin komponen PH kerana proses peralihan kuasa antara Perdana Menteri kepada Anwar pasti akan berlaku bila tiba masanya dalam tempoh dua tahun sejak PH menguasai Putrajaya pada 10 Mei 2018.

“Sikap ‘lebih sudu dari kuah’ serta kerap menggunakan rundingan pintu belakang yang dizahirkan Azmin ternyata tidak memberi kesan positif persepsi rakyat terhadap kerajaan, malah memburukkan iklim politik negara setelah perjanjian peralihan kuasa telah pun dimuktamadkan sebelum PH berkuasa,” katanya.

Justeru, Pro Reformis 98 Sarawak menzahirkan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Anwar untuk menyelesaikan masalah disiplin yang ditimbulkan oleh Azmin dan sesetengah pimpinan tertinggi parti secara teratur dan berkesan.

Mereka juga menuntut Lembaga Disiplin parti supaya mengambil tindakan disiplin segera ke atas Azmin dan sesetengah pimpinan tertinggi parti selaras dengan undang-undang dan perlembagaan parti yang berkaitan.