KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor bakal merealisasikan impiannya untuk mengadakan konsert solo bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 17 Oktober depan.
Konsert yang diberi judul Jaclyn Victor – Gemilang Bersama MPO itu akan dipimpin oleh konduktor muzik Ahmad Muriz Che Rose dengan persembahan selama 90 minit yang merangkumi kira-kira 20 buah lagu.


Menurut Bernama, Jaclyn menyifatkan peluang beraksi di dewan berprestij tersebut sebagai pencapaian paling bermakna dalam kerjaya nyanyiannya kerana beliau berasa sangat bersyukur apabila impian untuk bekerjasama dengan MPO akhirnya tercapai.
Kelainan konsert itu terletak pada keberanian Jaclyn menyahut cabaran Ahmad Muriz untuk mendendangkan lagu opera klasik Itali serta gubahan simfoni baharu bagi lagu-lagu popularnya seperti Gemilang dan Beribu Sesalan.
Ahmad Muriz menjelaskan bahawa beliau sengaja mencabar Jaclyn untuk keluar daripada zon selesa bagi mempamerkan sisi vokal yang berbeza, sekali gus memberikan kejutan kepada para penonton yang hadir.



