ARTIKEL

VASANTHAN GOPALAN

Jadikan membaca gaya hidup

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Budaya membaca bukan lagi sekadar amalan sampingan, tetapi menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat berilmu dan berdaya saing.

Dalam dunia yang sentiasa berubah pantas, membaca perlu dilihat sebagai gaya hidup yang berterusan, bukan hanya terhad kepada pendidikan formal.

Malah, perkembangan teknologi dan media sosial turut mengubah cara masyarakat mendekati bahan bacaan, sekali gus menjadikan budaya membaca lebih dinamik, mudah diakses dan relevan dengan keperluan semasa.

Sehubungan dengan itu, ilmu bukan lagi sekadar sesuatu yang diperoleh di bangku sekolah atau universiti, tetapi perlu dilihat sebagai proses berterusan sepanjang hayat.

Perubahan zaman menjadikan konsep pengetahuan sepanjang hayat sebagai satu keperluan, bukan lagi pilihan.

Menurut penerbit buku yang bertanggungjawab di bawah syarikat Firdaus Press Publication, Vasanthan Gopalan, 53 tahun, seseorang yang mencapai tahap kelulusan universiti tidak seharusnya berhenti membaca.

Tambah beliau, selepas seseorang memantapkan pengajian di universiti, cabaran sebenar bukanlah untuk berhenti belajar, tetapi bagaimana meneruskan proses pembelajaran tersebut dalam kehidupan seharian melalui pembacaan, pengalaman dan perkembangan diri yang berterusan.

“Dalam konteks ini, tabiat membaca memainkan peranan yang sangat penting. Membaca tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti akademik semata-mata, tetapi sebagai amalan hidup yang membentuk pemikiran, memperluas pengetahuan dan meningkatkan kualiti diri.

“Walaupun sistem pendidikan formal menyediakan asas ilmu, ia tidak cukup untuk memenuhi keperluan dunia yang sentiasa berubah.

“Justeru, membaca buku perlu dijadikan amalan harian, sama seperti makan dan minum kerana ia memberi nutrisi kepada minda. Hal ini selari dengan pandangan bahawa budaya membaca perlu dijadikan rutin, bukan sekadar hobi sampingan,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Tambah Vasanthan, perubahan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat hari ini sangat ketara jika dibandingkan dengan satu dekad yang lalu.

Namun begitu, perubahan tersebut tidak semestinya menunjukkan penurunan minat membaca. Sebaliknya, hal ini lebih merupakan transformasi cara masyarakat berinteraksi dengan bahan bacaan.

“Tabiat membaca masyarakat hari ini sebenarnya telah berubah dengan ketara berbanding 10 tahun lalu, tetapi perubahan itu bukan bermaksud minat membaca semakin merosot.

“Kehadiran media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram membuka ruang baharu dalam dunia buku.

“Jika dahulu pembaca bergantung pada kedai buku dan promosi fizikal, kini pendedahan terhadap buku berlaku dengan lebih pantas melalui platform digital,” ujarnya.

Katanya, fenomena ini turut mengubah cara penerbit dan penulis berfikir, sekali gus menunjukkan perubahan besar dalam dunia penerbitan masa kini.

“Buku bukan sahaja perlu mempunyai kandungan yang baik, tetapi juga dipersembahkan secara menarik dan mudah difahami. Ini kerana pembaca masa kini lebih cenderung memilih bahan bacaan yang ringkas, padat dan praktikal.

“Selain itu, buku yang menggunakan pendekatan infografi, bahasa santai serta struktur yang mudah difahami lebih mendapat sambutan berbanding dengan karya yang terlalu berat dan bersifat akademik.

“Hal ini menunjukkan minat membaca masih wujud, namun dipengaruhi oleh keperluan semasa masyarakat yang mahukan maklumat segera serta relevan dengan kehidupan harian,” ujarnya.

Malah, beliau mengakui pembaca masa kini juga lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan faktor tarikan seperti judul, reka bentuk kulit buku serta cara kandungan dipersembahkan.

Dari sudut genre pula, jelasnya, terdapat beberapa kategori buku yang didapati lebih mendapat sambutan dalam kalangan pembaca, antaranya buku berunsur agama yang menekankan amalan harian kerana dekat dengan kehidupan masyarakat.

Selain itu, beliau berkata buku pembangunan diri turut mendapat permintaan tinggi kerana ramai pembaca ingin memperbaiki diri dari segi emosi, kerjaya serta kemahiran hidup.

Sementara itu, genre keibubapaan pula, katanya, semakin berkembang pesat terutamanya dalam kalangan ibu bapa muda yang mencari panduan praktikal dalam mendidik anak-anak.

“Buku dalam pelbagai kategori bukan sahaja memberikan ilmu, tetapi juga menawarkan penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

“Hal ini selari dengan pemerhatian bahawa buku yang relevan, praktikal dan mudah difahami lebih mendapat tempat, sekali gus membuktikan perubahan keutamaan pembaca masa kini.

“Perubahan ini turut membawa kepada perkembangan yang besar dalam industri penerbitan apabila peranan penerbit buku kini lebih kompleks berbanding dahulu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, ujarnya, penerbit bukan sekadar mencatak dan mengedarkan buku, tetapi turut bertanggungjawab untuk membentuk ekosistem ilmu. Mereka perlu memahami psikologi pembaca, khususnya generasi muda yang lebih terdedah kepada kandungan digital yang pantas dan bersifat visual.

Oleh itu, Vasanthan berkata, pendekatan penerbitan perlu disesuaikan dengan penggunaan elemen grafik, infografika serta gaya bahasa yang lebih mesra pembaca. Pada masa sama, penerbit juga perlu menjadi penggerak yang aktif dari segi kandungan, pendekatan serta cara buku itu disampaikan kepada pembaca.

Bukan itu sahaja, Vasanthan berkata, penerbit memainkan peranan penting dalam membimbing penulis kerana tidak semua penulis mampu menyusun kandungan dengan baik walaupun mempunyai idea yang bernas.

“Di sinilah peranan penerbit diperlukan sejak peringkat awal, termasuk aspek struktur penulisan, gaya bahasa dan strategi pemasaran.

“Hubungan antara penulis dengan penerbit perlu berbentuk kerjasama erat kerana kejayaan sesebuah buku bukan sahaja bergantung kepada kandungan, tetapi juga cara ia dipasarkan kepada masyarakat,” ujarnya.

Katanya, perubahan ini semakin ketara dalam era digital apabila pemasaran buku telah berubah secara drastik.

Walaupun kaedah konvensional seperti penjualan di kedai buku masih wujud, namun, katanya, ia tidak lagi menjadi saluran utama.

Sebaliknya, beliau mengakui media sosial kini memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan kejayaan sesebuah buku, khususnya platform seperti TikTok yang semakin berpengaruh dalam mempromosikan buku kepada khalayak luas.

Menurutnya, terdapat buku yang berjaya mencapai jualan puluhan ribu naskhah hanya melalui promosi di media sosial, sekali gus membuktikan strategi pemasaran yang tepat mampu mengubah nasib sesebuah karya, termasuk apabila segala-galanya boleh dipasarkan melalui TikTok.

“Dari sudut penulis, industri ini sebenarnya menawarkan peluang yang sangat luas kerana setiap individu berpotensi menjadi penulis.

“Hal ini kerana setiap individu mempunyai pengalaman dan perspektif yang unik untuk dikongsi. Namun, untuk berjaya sebagai penulis, seseorang perlu bersedia untuk belajar, kerana menulis buku bukanlah kerja yang mudah. Ia memerlukan komitmen dan latihan yang konsisten,” ujarnya.

Katanya, cabaran utama dalam industri penerbitan ialah mendapatkan penulis yang berkualiti serta manuskrip yang disusun dengan baik.

“Proses penyuntingan dan pembetulan sering mengambil masa yang panjang, tetapi penting bagi memastikan kualiti akhir sesebuah buku,” tambahnya.

Pada masa sama, konsep penerbitan bersama-sama antara penulis dengan penerbit juga semakin relevan apabila kedua-dua pihak berkongsi tanggungjawab dari segi kos dan keuntungan.

“Walaupun begitu, industri buku tetap berdepan cabaran seperti persaingan digital dan perubahan tabiat pembaca, namun potensinya masih sangat cerah,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Vasanthan menjelaskan bahawa dengan strategi pemasaran yang tepat serta pemahaman terhadap kehendak pembaca, industri ini mampu terus berkembang.

Malah, buku fizikal masih mempunyai tempat dalam masyarakat kerana ia menawarkan pengalaman membaca yang berbeza berbanding bahan digital dan kandungan yang berkualiti tetap akan mendapat tempat di hati pembaca.

Katanya, budaya membaca perlu terus dipupuk dalam masyarakat bermula daripada peringkat individu hingga institusi. Menulis jurnal, diari atau catatan pengalaman harian boleh menjadi langkah awal ke arah pembentukan penulis dan pembaca yang aktif.

“Kita boleh mempunyai judul dan kandungan buku terhebat di dunia, tetapi jika tidak mahir memasarkan buku tersebut, apa yang boleh kita dapat daripada usaha itu?

“Justeru, ilmu, penulisan dan pemasaran perlu bergerak seiring demi membina masyarakat berilmu.

“Dalam jangka panjang, masyarakat yang membaca dan menulis akan membentuk ekosistem ilmu yang lebih sihat, progresif dan berdaya saing,” katanya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU