BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan ekonomi inklusif menerusi pelaksanaan Projek Samalaju SME Cluster yang dijangka menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih aktif perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian nilai industri berimpak tinggi di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, pembangunan kluster berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat, khususnya golongan usahawan tempatan.

Menurut beliau, projek itu dibangunkan bagi melengkapkan ekosistem industri di Samalaju serta menyediakan peluang kepada PMKS tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah kepada syarikat multinasional yang beroperasi di kawasan tersebut.
“Matlamat kita adalah memastikan PMKS tempatan bukan sahaja menjadi pembekal domestik, tetapi mampu berkembang sebagai pemain yang kompetitif dalam rantaian nilai serantau dan global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Samalaju SME Cluster di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, pembangunan Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah menjadikan kawasan itu antara hab industri berat paling signifikan di Malaysia dan rantau ASEAN.
Menurutnya, sehingga kini SIP berjaya menarik pelaburan melebihi RM60 bilion daripada pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus mewujudkan lebih 9,100 peluang pekerjaan serta menjana kira-kira RM700 juta pembayaran gaji, menyumbang lebih RM6.2 bilion kesan pengganda kepada ekonomi negeri serta menghasilkan nilai eksport sekitar RM16.5 bilion.
Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar mesra pelaburan Kerajaan Sarawak yang disokong kestabilan politik, tadbir urus yang cekap dan penyediaan infrastruktur yang kondusif.
Namun, beliau menegaskan kejayaan pembangunan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan nilai pelaburan atau pertumbuhan perdagangan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.
“Falsafah pembangunan Kerajaan Sarawak sentiasa berpaksikan rakyat. Kejayaan sebenar ialah apabila peluang ekonomi yang diwujudkan dapat dinikmati oleh usahawan tempatan dan komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Menurut beliau, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negeri dengan lebih 71,000 perusahaan berdaftar yang menyumbang secara signifikan kepada aktiviti ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, Samalaju SME Cluster dibangunkan sebagai sebuah ekosistem perniagaan yang tersusun dan berdaya saing khusus untuk PMKS, melibatkan 10 fasa pembangunan di kawasan seluas 96.72 hektar dengan anggaran kos RM223 juta.
“Setakat ini, Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap dibangunkan dengan kos RM25.8 juta melibatkan kawasan seluas 21.53 hektar serta penyediaan 21 lot industri.
“Selain menyediakan lot industri, projek itu turut memberi peluang kepada PMKS tempatan memperoleh pendedahan kepada teknologi baharu, amalan terbaik industri, sistem pengurusan moden dan piawaian antarabangsa melalui kerjasama dengan syarikat multinasional.
“Bagi memastikan PMKS bersedia memanfaatkan peluang tersebut, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) akan melaksanakan program Samalaju Collaborative and Operational Readiness Engine for MSMEs (SCORE-MSME) yang memberi fokus kepada pembangunan vendor, pensijilan global, bimbingan strategik, peningkatan kemahiran, pendigitalan serta akses kepada pembiayaan,” jelasnya.
Menurut Awang Tengah, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Beliau yakin Samalaju SME Cluster mampu menjadi model pembangunan kluster PMKS yang boleh diperluaskan ke kawasan perindustrian lain di seluruh Sarawak, sekali gus memperkukuh daya saing usahawan tempatan dalam ekonomi global.



