ARTIKEL

Jaga hati sebelum kehilangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA Ahad lalu, saya mengambil sedikit masa untuk berehat. Selepas seminggu yang panjang dengan pelbagai urusan dan kesibukan, saya memilih untuk duduk tenang sambil menonton Netflix.

Entah mengapa jari saya berhenti pada sebuah drama bertajuk Queen of Tears. Pada mulanya, saya hanya mahu mengisi masa lapang. Namun semakin lama menonton, semakin banyak persoalan tentang cinta dan kehidupan bermain dalam fikiran.

Drama ini mengisahkan pasangan yang pernah saling mencintai tetapi kemudiannya berdepan dengan jarak emosi yang semakin jauh. Mereka masih bersama tetapi hati mereka seolah-olah terpisah. Ada luka yang tidak diluahkan. Ada perasaan yang dipendam. Ada kata-kata yang akhirnya meninggalkan kesan mendalam.

Saya mula berfikir. Benarkah cinta boleh hilang begitu sahaja? Atau sebenarnya cinta tidak pernah hilang tetapi perlahan-lahan terkikis apabila hati terlalu lama terluka?

Dalam kehidupan sebenar, kita juga melalui perkara yang sama. Ada masa kita mencintai seseorang dengan sepenuh hati. Kita memberi ruang. Kita memberi peluang. Kita cuba memahami. Tetapi apabila perasaan itu tidak lagi dihargai, kita mula belajar untuk berdiam diri.

Jika hati saya disakiti oleh orang yang paling saya kasihi, saya tahu apa yang akan saya lakukan. Saya memilih untuk diam. Bukan kerana kalah. Bukan kerana sudah tidak peduli. Tetapi kerana ada waktunya diam adalah cara hati menjaga maruah apabila kata-kata tidak lagi mampu memperbaiki keadaan.

Saya percaya, cinta itu seperti ukiran pada sebatang kayu. Setiap kata yang menyakitkan ibarat mata pahat yang mengikis sedikit demi sedikit permukaannya. Pada awalnya, kesannya mungkin tidak kelihatan. Namun jika terlalu kerap dihakis akhirnya ukiran yang indah akan menjadi pudar. 

Begitu juga hati manusia. Semakin seseorang menjauh, semakin terkikis rasa cinta yang pernah mekar. Yang lebih menyedihkan bukan sahaja cinta yang semakin hilang tetapi rasa hormat juga perlahan-lahan lenyap.

Sedangkan hormat adalah akar kepada sebuah hubungan. Cinta boleh bertahan dengan jarak. Cinta boleh bertahan dengan kesibukan. Tetapi cinta sukar bertahan apabila hati terus dilukai dan rasa hormat semakin tidak dihargai.

Namun Queen of Tears mengajar kita satu perkara yang lebih besar. Sebuah hubungan tidak runtuh hanya kerana satu masalah. Kadangkala ia retak sedikit demi sedikit melalui perkara kecil yang tidak diberi perhatian.

Kita sering bercakap tentang bagaimana mahu mendapatkan cinta tetapi kita jarang bertanya; bagaimana mahu menjaga cinta selepas memilikinya?

Cinta bukan hanya tentang saat indah ketika semuanya mudah. Cinta diuji apabila dua manusia berdepan perbezaan serta rasa kecewa dan kelemahan masing-masing.

Pada saat itulah, komunikasi, kesabaran dan rasa hormat menjadi penentu sama ada hubungan mampu bertahan atau tidak. Ada orang menyangka seseorang akan sentiasa menunggu walaupun berkali-kali disakiti. Mereka lupa, hati manusia juga mempunyai batas — bukan tiada batas setinggi langit.

Luka yang kecil jika dibiarkan boleh menjadi parut yang besar. Kata-kata yang kasar mungkin dilupakan tetapi kesannya boleh tersimpan lama. Sikap tidak peduli mungkin dianggap perkara kecil tetapi bagi hati yang terluka, ia boleh menjadi tanda bahawa dirinya tidak lagi dihargai.

Saya percaya manusia tidak berubah dalam satu malam. Seorang tidak tiba-tiba berhenti mencintai. Selalunya, perubahan itu berlaku sedikit demi sedikit. Bermula dengan kurangnya perhatian, kemudian berkurangnya komunikasi. Akhirnya, dua insan yang pernah rapat mula terasa seperti orang asing.

Jangan bertanya, adakah dia masih mencintai aku? Sebaliknya tanya, adakah aku masih menjaga hati orang yang mencintai aku?

Kerana cinta yang tidak dijaga akan layu walaupun pernah tumbuh dengan indah. Namun kepada sesiapa yang pernah terluka kerana cinta, jangan menganggap kehilangan seseorang sebagai pengakhiran kehidupan.

Satu pintu yang tertutup tidak bermakna seluruh dunia sudah gelap. Kadangkala Tuhan menjauhkan seseorang daripada kita bukan kerana kita tidak layak dicintai. Tetapi kerana kita perlu belajar yang kita tidak pernah bergantung kepada penerimaan manusia.

Kita tidak kehilangan diri hanya kerana kehilangan seseorang. Masih ada keluarga yang menyayangi kita. Masih ada sahabat yang mengambil berat. Masih ada hari esok yang menunggu untuk diisi dengan harapan baharu.

Cinta sepatutnya menjadi tempat kita menemukan ketenangan bukan tempat kita kehilangan diri sendiri. Kerana cinta yang matang bukan tentang memiliki seseorang sepanjang masa.

Cinta yang matang apabila kita tahu cara menghargai ketika seseorang masih bersama dan tahu cara melepaskan apabila dia memilih untuk pergi.

Kadangkala dalam hubungan, perkara yang paling sukar bukan mempertahankan cinta tetapi mengakui bahawa sesuatu telah berubah. Kita sering terlalu sibuk mempertahankan kenangan lama sehingga terlupa melihat apa-apa berlaku yang sedang berlaku di hadapan mata. Kita masih berpegang kepada siapa seseorang itu dahulu sedangkan manusia juga melalui perubahan tekanan dan perjalanan hidup yang berbeza.

Namun begitu, setiap hubungan tetap mempunyai peluang untuk diperbaiki selagi masih ada keikhlasan untuk mendengar dan memahami. Tidak semua luka perlu berakhir dengan perpisahan. Ada luka yang boleh sembuh apabila dua hati memilih untuk merendahkan ego mengakui kesilapan dan kembali belajar menghargai satu sama lain.

Kerana pada akhirnya manusia tidak mencari seseorang yang sempurna. Kita hanya mencari seseorang yang bersedia menjaga hati, menghormati perasaan dan memilih untuk terus berusaha walaupun melalui hari yang sukar. 

Hubungan yang kuat bukan dibina dua insan yang tidak pernah terluka tetapi dua insan yang tidak berhenti memilih untuk memperbaiki keadaan.

Queen of Tears mungkin hanya drama tetapi mesejnya dekat dengan kehidupan kita. Ia mengajar kita di sebalik setiap senyuman, mungkin ada hati yang sedang menunggu untuk difahami. Jangan tunggu kehilangan seseorang barulah kita belajar menghargai. Kerana kadangkala perkara yang kita anggap sentiasa ada, sebenarnya itulah perkara yang paling perlu kita jaga.

BERITA LAIN

Kepercayaan memakan diri

DUA hari lalu, polis Saratok mendedahkan seorang wanita warga emas dari Kabong terpedaya oleh seorang bomoh palsu dari Sibu. Terpedaya itu bukan seribu dua, belasan

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

BERITA TERBARU