ARTIKEL

JAGA KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB KITA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEBERAPA hari lalu, ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat pada waktu malam, saya melihat dua pekerja kebersihan sedang mengutip sampah di tepi jalan raya.

Saya dapat simpulkan, mereka ialah pekerja kebersihan kerana mereka mengenakan pakaian pantulan cahaya dan memegang penyepit sampah serta plastik hitam sederhana besar.

Mereka juga mengutip sampah-sarap yang dibuang di tepi jalan raya.

Sebelum ini, saya juga pernah melihat seorang pekerja lelaki berhenti di bahu jalan dan mengutip sampah yang kelihatan berdekatan dengan jalan utama ke kawasan perumahan.

Dia juga mengenakan pakaian yang serupa.

Dia menunggang motosikalnya secara perlahan di tepi jalan raya dan jika ternampak sampah, dia akan memberhentikan motosikalnya dan memasukkan sampah tersebut ke dalam plastik hitam.

Amat jarang sekali saya melihat sampah di tepi jalan raya yang menuju ke kawasan perumahan saya. Kerja mengutip sampah itu bukan sahaja dilakukan pada waktu siang, malah juga dilakukan pada waktu malam.

Justeru saya sangat berterima kasih kepada semua pekerja kebersihan ini kerana tanpa mereka, tepi jalan raya kita mungkin penuh dengan sampah sarap yang dibuat oleh individu tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini mengingatkan saya dengan pencipta kandungan media sosial, Tracey E. Hughes yang menjadi pengasas gerakan Clean Up Pan Borneo (CUPB) yang tular tahun lalu.

Berdasarkan dapatan, wanita dari Bau ini memulakan gerakan CUPB pada 7 Oktober tahun lalu susulan kekecewaan terhadap sampah sarap di sepanjang lebuh raya.

“Hampir setiap perhentian bas dan pusingan P sepanjang Pan Borneo penuh sampah.

Susah sangat kah simpan sampai jumpa tong sampah?

Kita sama-sama jaga tanah kita, bukan tambah kotor,” tulisnya dalam hantaran media sosial.

Tanpa menunggu sesiapa, Tracey turun padang dan mula mengutip sampah sendiri.

Keesokan harinya, dia kembali ke lokasi sama dan kali ini mengajak orang ramai menyertainya dengan ikhlas.

“Harap-harap ada yang inspired dan sama-sama bertindak untuk mencantikkan semula jalan Pan Borneo.

Please use hashtag #CleanUpPanBorneo — it starts with us!” tulis Tracey dalam media sosialnya lagi.

Siapa sangka, setiap catatan media sosialnya memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengambil bahagian, sekali gus mengubah tindakan mudah mengutip sampah menjadi gerakan komuniti yang lebih luas.

Pada 8 Februari lalu, sekumpulan pelajar dari SMK Temenggong Datuk Lawai Jau, Baram mengambil kesempatan membersihkan sebuah kawasan singgah di tepi jalan bekas balak di Ulu Baram.

Menurut hantaran yang dikongsi oleh Sarawak Rural Update di media sosial itu, jalan tersebut merupakan laluan untuk mereka balik ke Long San selepas menyertai kejohnan merentas desa di Long Lama.

Dalam catatan ringkas itu, ia juga melahirkan rasa  kecewa kepada pemandu atau orang ramai tidak sedar akan kebersihan di tempat singgah.

Diharapkan tindakan pelajar ini menjadi contoh kepada orang ramai agar membantu membersihkan kawasan.

Melihat kepada tiga cerita ini, tidak dinafi kan ada sesetengah masyarakat kita sudah biasa membuang sampah sembarangan khususnya membuang sampah keluar tingkap kereta ke jalan raya.

Kebiasaan membuang sampah sembarangan ini boleh dikatakan satu ‘penyakit’, namun ia sebenarnya boleh dirawat sekiranya individu mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan bersama-sama.

Menurut SDGs Youth Hub, terdapat 10 sebab mengapa orang masih buang sampah sembarangan.

Pertama, anggapan bahawa sampah bukan barang bernilai sehingga ia tidak memerlukan perhatian khusus.

Kedua, berasakan sampah bukan tanggungjawab peribadi.

Ketiga, pemikiran yang berakar dan tabiat membuang sampah.

Keempat, tidak mempedulikan tingkah laku sendiri.

Kelima, yakin bahawa tiada akibat buruk jika membuang sampah sembarangan.

Keenam, penalti atau denda tidak berkesan. Ketujuh, tiru apaapa yang kebanyakan orang lakukan.

Kelapan, rasa malas untuk membuang sampah di tempatnya.

Kesembilan, kekurangan tong sampah.

Akhir sekali, masih terdapat kekurangan pemahaman mengenai akibat sisa tidak diurus.

Nah, ini antara sebab mengapa ‘penyakit buang sampah’ ini sukar diubati.

Orang yang membuang sampah di tempat awam ini sering beranggapan bahawa itu bukan tanggungjawab mereka, tetapi lebih kepada tugas dan kewajipan kakitangan pembersihan atau kerajaan tempatan.

Fikiran sebegini mesti diubah!

Membuang sampah walaupun secebis tisu, sepatutnya ke dalam tong sampah.

Jika tiada tong sampah di sekitar, simpan dulu sampah ke dalam plastik kecil, beg, poket seluar atau baju dan carilah tong sampah berdekatan untuk membuangnya.

Bagi yang memandu kereta pula, biasakan membawa bungkusan plastik ke dalam kereta.

Sisa-sisa sampah seperti bekas makanan dan sebagainya, boleh dimasukkan ke dalam plastik tersebut.

Janganlah mengambil langkah mudah iaitu membuang ia dari tingkap kereta! 

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU