BERMULA tanpa sebarang asas dalam bidang jahitan, Natlie Kippen, 26, kini menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan dengan menjalankan perkhidmatan jahitan dari rumah.
Minat yang mula berputik ketika menuntut di Kolej Vokasional Kuching membawanya untuk terus mengasah kemahiran sehingga mampu menerima pelbagai tempahan pakaian tradisional dan kasual.
Ikuti sekilas tanya jawab bersama-sama Natlie mengenai perjalanan, pengalaman serta cabarannya sebagai tukang jahit.
1. Bolehkah perkenalkan diri dan nyatakan tempat anda bekerja sebagai tukang jahit?
Nama penuh saya ialah Natlie Kippen dan kini berumur 26 tahun. Saya merupakan seorang tukang jahit yang menjalankan perkhidmatan jahitan sepenuhnya dari rumah.
2. Bolehkah kongsikan bagaimana anda mula menceburi bidang jahitan?
Perjalanan saya dalam bidang jahitan bermula secara rasmi apabila saya melanjutkan pengajian di Kolej Vokasional Kuching (KVKu). Di situlah saya mula didedahkan secara teori dan praktikal kepada asas pembuatan pakaian.
Suasana pembelajaran di kolej tersebut banyak membuka ruang kepada saya untuk mengenali dunia jahitan dengan lebih mendalam. Pendedahan yang diterima sepanjang tempoh pengajian menjadi asas untuk saya membina kemahiran dalam bidang ini.
3. Sejak bila anda mula belajar menjahit dan siapakah yang mengajar anda?
Pada usia 16 tahun, iaitu ketika menuntut di Kolej Vokasional Kuching. Sebelum itu, saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan asas atau latar belakang dalam bidang jahitan.
Sepanjang berada di KVKu, para pensyarah banyak mengajar dan membimbing saya. Mereka membimbing saya dengan penuh kesabaran, bermula daripada peringkat paling asas ketika saya langsung tidak tahu menjahit sehingga saya akhirnya mempunyai keyakinan dan kemahiran untuk menghasilkan pakaian sendiri.

4. Apakah yang membuatkan anda tertarik dengan bidang jahitan sehingga menjadikannya kerjaya?
Sejujurnya, pada mulanya saya kurang berminat dengan bidang jahitan. Namun, sepanjang belajar di KVKu, minat itu mula berkembang apabila saya berpuas hati dan bangga dengan hasil jahitan sendiri.
Selepas tamat pengajian, saya mula menerima tempahan daripada rakan dan ahli keluarga. Walaupun pada awalnya agak takut, galakan mereka membuatkan saya semakin yakin dan menjadikan jahitan sebagai pekerjaan sambilan.
Lama-kelamaan, saya mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya dan menjadikan bidang jahitan sebagai kerjaya tetap hingga hari ini.
5. Apakah jenis pakaian yang paling kerap anda jahit?
Tempahan pakaian tradisional dan kasual paling kerap saya terima. Baju kurung merupakan antara busana yang paling banyak ditempah oleh pelanggan wanita.
Selain baju kurung, saya juga kerap menghasilkan kemeja untuk pelanggan lelaki serta pelbagai rekaan blaus wanita. Tiga jenis pakaian inilah yang paling kerap saya hasilkan.
6. Antara semua hasil jahitan anda, apakah pakaian yang paling mencabar untuk dihasilkan? Bagaimanakah anda menghadapinya?
Bagi saya, rekaan pakaian yang paling mencabar untuk dihasilkan ialah gaun yang mempunyai struktur bustier atau korset. Pakaian jenis ini memerlukan ketelitian yang tinggi dari segi binaan struktur dan ukuran supaya terletak dengan kemas pada badan.
Untuk menghadapi cabaran ini, saya biasanya mempelajari teknik yang betul dan sesuai dengan menonton video panduan di YouTube. Jika timbul keraguan ketika menghasilkan rekaan yang jarang dibuat, saya akan mengambil langkah berhati-hati dengan membuat percubaan terlebih dahulu menggunakan kain belacu atau kain lebihan sebelum memotong kain asal pelanggan.


7. Pernahkah pelanggan membuat permintaan yang pelik atau luar biasa?
Sepanjang bekerja sebagai tukang jahit, saya pernah berhadapan dengan pelanggan yang membawa rekaan yang agak pelik atau luar biasa. Rekaan sedemikian biasanya berbeza daripada jenis jahitan yang biasa saya hasilkan.
Apabila berhadapan dengan situasi tersebut, saya biasanya mengambil keputusan untuk menolak tempahan berkenaan secara berhemah. Saya tidak memaksa diri untuk menerima tempahan yang berada di luar kemampuan saya.
8. Apakah cabaran terbesar yang biasanya dihadapi oleh seorang tukang jahit?
Apabila pelanggan membawa kain yang hanya cukup-cukup untuk menghasilkan pakaian. Keadaan menjadi lebih rumit apabila pelanggan menginginkan rekaan pakaian yang labuh dan kembang, sedangkan kain yang disediakan tidak mencukupi untuk dipotong mengikut pola rekaan tersebut.
Keadaan sebegini amat menyukarkan proses menyusun pola di atas kain dan memotong kain dengan sempurna. Inilah antara perkara yang paling mencabar bagi saya walaupun rekaan pakaian yang diminta sebenarnya ringkas.
9. Berapa lamakah masa yang biasanya diperlukan untuk menyiapkan sehelai pakaian?
Bergantung sepenuhnya pada tahap kerumitan rekaannya. Setiap rekaan memerlukan tempoh dan tahap ketelitian yang berbeza.
Bagi rekaan yang ringkas seperti blaus wanita, proses menyiapkannya agak pantas dan biasanya mengambil masa kira-kira lima jam. Bagi pakaian tradisional seperti baju kurung pula, saya memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari untuk menyiapkan sehelai pakaian dengan kemas.
10. Bagaimanakah anda memastikan pakaian yang dihasilkan sesuai dengan bentuk dan ukuran pelanggan?
Bagi memastikan hasil yang memuaskan, beberapa langkah perlu dilakukan dengan teliti sejak peringkat awal.
Langkah pertama yang paling penting ialah memastikan ukuran badan pelanggan diambil dengan tepat dan teliti. Ukuran yang betul menjadi asas utama dalam pembinaan pola pakaian yang seimbang.
Selain itu, lebih baik sekiranya pelanggan dapat datang untuk sesi cuba pakai sebelum pakaian berkenaan siap sepenuhnya. Langkah ini amat membantu kerana jika terdapat bahagian yang kurang kemas atau perlu diubah suai, pembetulan boleh dilakukan sebelum pakaian tersebut disiapkan sepenuhnya.


11. Pada pendapat anda, adakah kemahiran menjahit masih penting untuk dipelajari walaupun pakaian mudah dibeli di pasaran?
Keperluan terhadap perkhidmatan jahitan khas masih penting. Hal ini demikian kerana golongan dalam sektor korporat serta anggota unit beruniform masih memerlukan perkhidmatan tukang jahit untuk mendapatkan pakaian yang memenuhi spesifikasi dan piawaian kualiti tertentu. Pakaian siap di pasaran juga tidak semestinya sesuai dengan saiz dan bentuk badan setiap individu.
12. Jika diberi peluang untuk menghasilkan satu rekaan yang anda impikan, apakah rekaan tersebut?
Jika diberi peluang, rekaan yang sangat ingin saya hasilkan ialah sebuah gaun pengantin gaya ball gown. Rekaan gaun perkahwinan seperti ini memerlukan ketelitian dan teknik pembinaan struktur yang kukuh.
Sebab utama saya mengimpikan rekaan ini adalah kerana saya merasakan bahawa saya masih belum mahir sepenuhnya dalam menghasilkan rekaan tersebut. Ia menjadi sasaran peribadi untuk saya terus belajar dan menguasai teknik jahitan pada tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.



