ARTIKEL

Jajaran baharu ke Kampung Beradek, mudahkan perjalanan penduduk

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Dua projek jajaran baharu bakal dibina di Kampung Beradek ke Tanjung Bako dan dari Beliong ke Kampung Beradek di sini bagi menghubungkan perkampungan di sekitar kawasan itu dengan kawasan bandar.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo berkata, ia sebagai usaha kementeriannya melengkapkan Laluan Utama Kedua di negeri ini sekali gus memudahkan urusan penduduk setempat.

‘’Hari ini (semalam), kita mengadakan lawatan menggunakan helikopter bagi meninjau dua projek jajaran baharu yang bakal dibina untuk menghubungkan kawasan ini ke jalan Tanjung Bako dan satu lagi jajaran adalah di Beliong.

“Di Tanjung Bako sudah mempunyai Laluan Utama Kedua yang dibina sehingga ke Samarahan termasuk di Beliong yang bakal mempunyai perkhidmatan feri dan kini sedang dalam proses tender bagi menghubungkan kawasan berdekatan ke Asajaya menggunakan Laluan Utama Kedua,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Taklimat Lawatan Ke Projek Menaik Taraf Jalan Kebun Kampung Beradek-Semilang di sini, semalam.

Menurut Aidel, projek jajaran pertama akan dibina Kampung Beradek ke Tanjong Bako dan memerlukan pembinaan jambatan di Kampung Lobat Batu Belat di Sungai Sarawak di sini selain di Beliong melibatkan kira-kira 10 hingga 15 kilometer (km).

‘’Disebabkan itu, lawatan hari ini (semalam) kita laksanakan untuk melihat sendiri kawasan itu bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jambatan di Lobat Batu Belat mungkin sepanjang 200 ke 250 meter dan satu lagi jambatan kecil kira-kira 50 meter,’’ ujarnya.

Tambahnya, bagi kedua-dua jambatan baharu tersebut, kementeriannya akan mula membida di peringkat Kerajaan Persekutuan sekurang-kurangnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dimuktamadkan pertengahan tahun hadapan.

Jalan tersebut penting untuk menghubungkan kawasan kampung tersebut dengan bandar utama iaitu Kuching, Samarahan dan Asajaya yang sebelum ini hanya diakses menggunakan bot, ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan projek menaik taraf Jalan Kebun Kampung Beradek Semilang dijangka bermula pada suku pertama 2024 dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM45 juta.

Katanya, dana projek tersebut adalah daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melibatkan pembinaan jalan berturap sepanjang lima kilometer (km) di samping jalan konkrit di kampung sepanjang tiga km.

“Semua projek akan diberi keutamaan oleh Kerajaan Sarawak sebaik sahaja ia ditender semula bulan ini.

“Projek ini dijangka siap dalam masa 24 bulan bersamaan dua tahun dan bermakna, projek ini dijangka boleh disiapkan pada 2026,” katanya.

Terdapat beberapa kampung utama termasuk dalam skop projek iaitu Kampung Beradek; Kampung Semilang; Kampung Beradek Cina; Kampung Tanju Ulu; Kampung Sri Pinang dan Kampung Tiang Api melibatkan kira-kira 2,000 populasi penduduk.

LAIN-LAIN BERITA

SEDAR mahu belajar daripada GPS untuk majukan Sabah

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersedia untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Presidennya, Datuk Othman Abdillah berkata, usaha itu bagi memastikan Sedar

Cubaan tiga lelaki curi kereta gagal

KOTA SAMARAHAN: Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah kereta di Taman Uni Garden gagal apabila diberkas polis selepas terbabas di Jalan Stutong, pada malam Selasa. Pemangku

BERITA TERBARU