BINTULU: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 20 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Assyakirin apabila dibawa membeli-belah barang keperluan bagi menyambut perayaan Hari Krismas yang bakal menjelang.
Aktiviti anjuran Jawatankuasa Kristian SK Asyakirin (JAKSA) itu diadakan di Jun Rong Medan Sentral, pada petang Rabu.
Murid-murid bertuah dan terpilih diiringi guru-guru dibawa mencuba dan membeli barangan keperluan seperti baju, seluar, peralatan sekolah dan sebagainya.
Program ini turut mendapat sokongan ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming yang turut menghulurkan sejumlah sumbangan sebagai tanda sokongan kepada pihak sekolah.
Beliau menyifatkan penganjuran program bantuan amal itu sedikit sebanyak dapat membantu rakyat khususnya golongan yang memerlukan dalam persiapan untuk menyambut hari perayaan.
Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa gembira atas inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah terbabit untuk membantu murid-murid yang memerlukan.
“Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa diketepikan oleh masyarakat terutamanya semasa musim perayaan.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini menyeru pihak swasta dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang dalam penganjuran aktiviti kebajikan sebegini bagi membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.



