BETONG: Projek pembinaan jalan penghubung baharu dari Ulu Paku ke Ulu Kota di bawah pakej Jalan Utama Kedua bernilai RM247 juta akan memendekkan jarak perjalanan Betong-Sarikei.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, apabila jalan sepanjang 20 kilometer (km) itu siap, pengguna akan menikmati perjalanan yang lebih pendek berbanding 50 km melalui Lebuh Raya Pan Borneo antara bandar Betong dan Sarikei.
“Sehingga kini pembinaannya 4.4 peratus atau 44 hari lebih awal daripada jadual.
“Kemajuan terkini projek sangat memuaskan dan diharap kontraktor terus mengekalkan momentum supaya dapat disiapkan mengikut jadual iaitu Januari 2027,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian semasa melawat tapak projek bagi mengetahui kemajuan pembinaan.
Turut serta ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan ADUN Krian Friday Belik.
“Bagaimanapun, besar harapan kami jika ia boleh disiapkan lebih awal iaitu akhir 2026.
“Sesungguhnya kita sangat gembira kerana projek jalan penghubung ini dalam proses menjadi kenyataan seperti diharapkan penduduk luar bandar khususnya dari DUN Bukit Saban, Krian dan Pakan,” ujarnya.
Uggah dalam pada itu memberi jaminan akan memantau pembinaan dengan teliti kerana ini adalah jalan yang sangat penting.
Sebelum ini kata Uggah, penduduk di kawasan tersebut menggunakan jalan yang dipanggil Jalan Sesco.



